Sumud: Dari luka ke syahadah

Sumud: Dari luka ke syahadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Langit Gaza terlukis dengan warna yang tidak pernah diminta manusia. Merah batu-bata, hitam jelaga, dan jingga yang bukan senja, melainkan lidah api yang mengunyah atap-atap rumah. Dari jauh, gegar letupan melantun-lantun seperti gendang perang purba yang dipalu syaitan. Asap naik, memeluk matahari sehingga siang bertukar muram. Di lorong-lorong sempit Jabaliya, kanak-kanak berlari tanpa kasut, perut mereka berlagu kosong seperti gendang kulit yang ditarik terlalu tegang.

Di ambang pintu rumah yang tinggal separuh dindingnya, Amina mendakap Qassim anaknya yang mata beningnya dilingkari kelabu.

“Ya Allah,” bisiknya. “Jika tiada roti, berilah sabar yang mengenyangkan.” Suaranya tenggelam oleh dengung pesawat yang memintal langit. Yang menyayat udara seperti pisau menyeret kain. Di sudut ruang retak, seketul roti kering sebesar tapak tangan berperang dengan tiga mulut Amina, Qassim, dan adiknya, Laila. Roti itu pecah menjadi serbuk, dan serbuknya pecah menjadi harapan serapuh habuk.

Di Gaza, kini 162 nyawa telah jatuh bukan kerana peluru, tetapi kerana lapar, 32 daripadanya kanak-kanak seperti bunga kecil yang gugur tanpa sempat mengenal musim.
“Pembunuh utama rakyat Gaza saat ini bukanlah peluru,” kata seorang sukarelawan dengan mata merah menyala kerana kurang tidur. “Tetapi kelaparan.” Kata-katanya jatuh seperti batu ke telaga hati ramai yang mendengar.

Di sebuah pelabuhan Nusantara, kapal bantuan Sumud Nusantara menghela nafas pertama. Perutnya dipadatkan dengan guni-guni beras, kotak susu bayi, tepung, kurma, ubat-ubatan, penapis air, pakaian tebal bukti kasih yang dikemas dalam bentuk-bentuk sederhana. Bendera kecil dari Malaysia, Indonesia, Brunei, dan Turki berkibar di tiang, berbisik kepada angin. Kami bukan kuat, tetapi kami enggan diam.

Lutfi dengan serban putih yang menampung peluh dan doa berdiri di haluan. Di wajahnya ada mata yang pernah kenal angka dan keuntungan. Kini mengenal air mata dan amanah.

“Saudara-saudara,” serunya kepada kumpulan sukarelawan yang memenuhi dek. “Kita belayar bukan untuk mencari musuh. Kita belayar untuk menegakkan ayat. “Dan sesiapa yang menyelamatkan satu nyawa, seolah-olah dia menyelamatkan seluruh manusia. Inilah jihad kita, memberi makan, jihad mengangkat manusia dari lantai lapar ke kerusi martabat.”

Malam pertama di laut terbuka. Langit menggantung rendah gelap pekat ditaburi jarum-jarum cahaya. Di dek, Ustaz Rahmat mengimami solat. Selepas salam, mereka duduk rapat-rapat, bahu bertemu bahu, menghirup angin masin yang masuk seperti doa panjang. Pak Ahmad, sukarelawan tua dari Jawa, memegang tasbih kayu biji-bijinya digilap oleh ribuan zikir selama puluhan tahun menyebut nama Tuhan seperti mendayung perahu yang keletihan.

“Takut?” Ujar seorang wartawan muda, matanya memantulkan bintang. “Kapten kata, laut depan kita sedang dikawal kapal perang.”

Pak Ahmad tersenyum, garis-garis usia di wajahnya seperti peta lembah yang pernah melintasi sungai-sungai kecil. “Anak, aku lebih takut jika kita pulang tanpa cubaan. Laut menelan banyak kapal, tetapi diam menelan lebih banyak manusia.”

Pagi ketiga, ufuk melukis garis hitam yang asing. Garis itu membesar. Membulat. Bertingkat dan bertaring kapal perang. Badannya kelabu keluli, seperti ikan paus besi yang memakan diesel dan memuntahkan ugutan. Laras meriamnya seperti mata naga yang enggan berkelip. Memaku Sumud Nusantara yang kecil di tengah halaman biru. Dari corongnya, suara besi bergema.

“Berhenti! Berpatah balik atau kami tembak!”

Angin berhenti bernafas seketika. Wajah-wajah sukarelawan menegang, namun ada sesuatu yang tidak dipunyai besi. Keberanian yang lembut. Lutfi melangkah ke hujung haluan, tangannya memegang pembesar suara.

“Kami kapal bantuan. Kami tidak membawa senjata. Kami membawa roti, susu, ubat. Kami membawa kehidupan untuk anak-anak Gaza. Jika kamu manusia, engkau akan beri laluan kepada kehidupan.”

Tiada jawapan selain desis radio. Laras meriam turun sedikit, kemudian naik semula. Kapal perang itu bergerak mengelilingi mereka. Alun laut mengganas cuba menghayun Sumud Nusantara bagai boneka kecil di tangan raksasa. Sukarelawan berpaut pada tali, tubuh mereka condong bagaikan pokok muda menahan taufan. Ustaz Rahmat berdiri di tengah dek, tangan terangkat, air mata bening: “Hasbunallahu wa ni‘mal wakil.”

Pak Ahmad melangkah ke hadapan, tubuhnya yang kecil menjadi bayang-bayang panjang di lantai dek.

“Jika mereka menembak,” katanya, suaranya serak tetapi menebuk langit, “biarlah tubuhku yang menerima. Tetapi jangan biar anak-anak Gaza mati kerana kita mengalah,berpatah balik.”

Pada saat genting itu, radio lusuh di rumah Amina menangkap frekuensi yang nyaris patah: “…Sumud Nusantara… dihalang… doa… doa…” Amina menekan radio ke dada. Qassim memandang mata ibunya, mata yang menyorot doa seperti telaga yang tanpa dasar. “Ummi, roti datang?”

“Roti datang,” jawab Amina, meski suaranya pecah seperti kaca. “Kalau bukan hari ini, esok. Kalau bukan di tangan manusia, di tangan Allah.” Qassim mengangguk, faham bahawa harapan juga bisa dimakan walaupun tidak mengenyangkan perut.

Di dek, Kapten Farid lelaki berbisik kepada Lutfi, “Jika mereka rempuh, kita tidak mampu lawan. Tapi ada celah waktu sebelum mereka bertindak. Celah ketika manusia menimbang dosa.”

Dia mengangkat bendera putih bertulis AID dengan huruf besar, menurunkan kelajuan, dan memerintahkan siren kecemasan dimatikan.

“Beritahu mereka kita sanggup diperiksa,” kata Lutfi, “asalkan muatan kami sampai. Periksalah roti seperti periksa peluru agar kamu tenang, dan kami hidup.”

Radio berdengung. Suara besi itu kembali, lebih dingin. “Berhenti di koordinat… tunggu arahan.” Kapten mengeluh, tetapi tunduk. Kadang-kadang mematuhi sementara adalah jalan memelihara nyawa misi.

Petang menjelang dengan wajah kelabu. Dari kapal perang, sebuah bot laju hitam turun. Membelah air seperti pisau membelah kain. Empat askar bersenjata melompat ke dek Sumud Nusantara.

Mata mereka tersembunyi di sebalik visor, tetapi nafas mereka masih manusia. Mereka meninjau, memeriksa, membuka kotak-kotak.

“Siapa ketua kamu?” Tanya seorang lagi, nada suaranya besi yang diasah.

“Saya,” kata Lutfi. Dia membuka beg sandangnya, mengeluarkan senarai muatan. Cop-cop persatuan, akuan sumpah. “Semua bantuan. Tiada senjata. Tiada kamera yang memfitnah. Hanya doa yang tidak kamu nampak.”

“Prosedur,” kata askar itu akhirnya, “menyuruh kami patahkan misi begini.” “Tapi prosedur tidak memberi makan anak kami di rumah.”

Sejenak, seorang manusia di dalam baju besi berdiri berdepan dengan manusia lain di baju kapas. Mereka tidak mengubah sejarah besar. Tapi mereka mengubah satu petang.

“Lima belas minit,” katanya perlahan. “Kamu pusing ke koordinat ini. Ada kapal yang akan ‘tidak nampak’ kamu. Selebihnya, Tuhan kamu urus.”

Pak Ahmad menekup mulutnya, menahan esak syukur. Ustaz Rahmat menunduk, menyeka air mata yang menembusi janggutnya. Kapten Farid mengangguk dengan penghormatan seorang pelayar kepada manusia di seberang visor.

Bot laju kembali ke perut kapal perang. Meriam tidak menembak. Di radio, tidak ada lagi suara. Senyap yang membawa harapan.

Di Rafah, sebuah gerbang logam yang sering memuntahkan “tidak” terasa lebih berat malam itu. Namun dari arah lain sebuah pantai terlindung. Yang tidak pernah catatannya lulus di meja kolonial, menunggu. Tiga perahu nelayan yang sering memukul nasib dengan jala tua mendekat. Lampu mereka kecil seperti kunang-kunang.

“Kami dengar di radio,” kata seorang nelayan yang mukanya diasah angin. “Kami tidak punya roti, kami punya laut. Turunkan apa yang kamu boleh, kami akan bawa ke darat.”

Lutfi menggenggam tangan lelaki itu. Gelendong tali diangkat. Guni-guni diikat dua-dua, tiga-tiga. Kotak kecil insulin diletakkan paling awal dalam perahu. Di atasnya, susu bayi, tepung, kain lampin, dan doa yang tidak berlabel. Perahu pertama berangkat, lalu perahu kedua, ketiga. Laut malam memeluk mereka seperti ibu memeluk anak-anak yang curi keluar untuk memberi makan jiran.

Amina terduduk di anak tangga rumah yang tinggal separuh itu. Dia memegang radio yang tiba-tiba senyap. Qassim mengangkat wajah. Telinganya seperti selalu lebih tajam daripada orang dewasa. Dia mendengar bunyi dayung yang menyapa air. Bunyi kaki orang berlari. Bunyi subuh yang datang lebih cepat daripada fajar. “Ummi, seseorang datang.” Amina berdiri, lututnya bergegar. Di pintu, seorang lelaki dengan baju basah. Wajahnya tidak dikenal, tapi hatinya dikenali Ketika menghulur bungkusan kecil yang berisi roti, susu, dan satu botol insulin.

Dunia berhenti berputar sedetik. Amina merapatkan bungkusan itu ke dada, seperti menahan jantungnya yang mahu tumbuh sayap. “Siapa kamu?”

“Tidak penting,” jawab lelaki itu, tersenyum. “Yang penting, Allah tidak lupa alamat kamu.”

Di tempat lain di Gaza, 30 pintu yang hampir roboh dibuka oleh tangan yang letih. Tangan yang menyambut bungkusan yang bau tepungnya bercampur bau garam laut. Malam itu, 162 yang telah pergi diingati. Dan beberapa nyawa yang hampir pergi ditarik semula dari tepi jurang oleh tali halus bernama Sumud.

Di geladak kosong selepas pemunggahan terakhir. Lutfi duduk memandang Timur. Bulan yang separuh mengambang memantul di permukaan laut. Kapal perang di kejauhan hilang dari pandangan. Barangkali menggeliat di garis horizon. Barangkali menulis laporan yang tidak benar. Barangkali juga diam-diam mengaku kalah kepada doa.

“Abang,” suara Ustaz Rahmat lembut, duduk di sisi. “Adakah ini kemenangan?”

“Veneer tipis pada luka besar,” jawab Lutfi, mengusap muka. “Tapi veneer inilah yang menahan kayu daripada patah. Selagi ada satu roti yang sampai, selagi ada satu susu yang menyentuh bibir anak kecil, selagi ada satu botol insulin yang menunda perpisahan. Itu jihad, dan jihad itu kemenangan yang mengajar manusia bernafas.”

Pak Ahmad datang dengan dua cawan teh. Di bibirnya ada senyum yang menyalakan garis-garis muka. “Kita akan balik?” Tanyanya.

“Kita akan datang lagi,” jawab Lutfi. “Selagi laut menerima jejak kami.”

Amina menyalakan api kecil. Air mendidih, roti disuapkan, susu dituangkan, insulin disuntik. Qassim memejam mata. Rasa hangat mengalir di perut. Di lidah. Di urat. Di hati. Dia memandang ibunya. Memandang langit yang kian memutih. “Ummi,” katanya, suara kecil tetapi tegas. “Bila besar, aku mahu jadi laut.”

“Kenapa laut?” Tanya Amina sambil ketawa kecil.

“Sebab laut tidak pernah penat membawa harapan,” jawab Qassim.

Amina mengangguk, dan di mata yang terlalu sering melihat runtuh. Subuh itu menegakkan satu bangunan yang tidak pernah boleh dibom.

Sumud Nusantara menukar haluan. Wajahnya kembali ke pelabuhan yang menanti dengan tangan-tangan yang ingin memuat semula kasih.

Laut menutup jejak mereka dengan kilauan Perak. Dan dunia, walau masih tua, keras, dan kejam. Terkedu seketika melihat lampu-lampu kecil di bahagian gelap peta menyala satu demi satu.

Bukan nyala peluru. Tapi nyala api hati manusia yang memutuskan untuk tidak diam.

Jihad bukan hanya di hujung laras, tetapi di hujung tangan yang menghulur. Bukan hanya di medan tembak. Tetapi di dek kapal yang sarat roti. Bukan hanya dengan darah. Tapi dengan air mata yang mengalirkan kehidupan.

Di atas geladak, Lutfi menutup matanya. Mendongak wajahnya kepada cahaya yang baru. “Ya Allah,” doanya. “Jika kami kecil, besarkan kami dengan tugas. Jika kami takut, berikan kami zikir. Jika kami jauh, panjangkan tangan-Mu merapatkan. Jangan biar lampu-lampu kecil ini padam.”

Laut menjawab dengan kilau yang panjang. Dan cerita pun terus belayar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×