Naik taraf sekolah daif seimbangkan kemudahan luar bandar

Naik taraf sekolah daif seimbangkan kemudahan luar bandar

FOUZI SINGON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peruntukan RM2 bilion bagi menaik taraf sekolah daif perlu dimanfaatkan sebaiknya agar kemudahan pendidikan di Sabah dan Sarawak dapat memenuhi keperluan pembelajaran yang lebih kondusif.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, usaha itu mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan murid di kawasan luar bandar menikmati kemudahan pendidikan yang lebih baik.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan setiap murid memperoleh peluang pembelajaran yang setanding tanpa mengira lokasi sekolah.

“Komitmen Kerajaan mengekalkan peruntukan RM2 bilion untuk menaik taraf sekolah daif khususnya di Sabah dan Sarawak amat dialu-alukan.

“Usaha ini menunjukkan perhatian serius terhadap keseimbangan kemudahan pendidikan antara bandar dan luar bandar agar setiap murid memperoleh peluang pembelajaran yang setara,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Fouzi berkata, pembinaan 38 sekolah baharu seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026 perlu diselaraskan dengan pengambilan guru bagi mengelakkan isu kekurangan tenaga pengajar di sekolah baharu.

Katanya, ia bertujuan untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

“Kami (NUTP) turut mengalu-alukan pembinaan 38 buah sekolah baharu yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 selaras dengan pertumbuhan kawasan perumahan baharu serta peningkatan populasi murid di kawasan sedia ada yang padat.

“Namun demikian, kami berharap unjuran pembinaan sekolah ini diselarikan dengan unjuran pengambilan guru supaya sekolah-sekolah baharu tidak berdepan dengan isu kekurangan tenaga pengajar,” katanya.

Fouzi berkata, penetapan peruntukan khas sebanyak RM115 juta bagi latihan guru merupakan langkah tepat untuk memastikan pelaksanaan Kurikulum 2027 dan pedagogi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dapat dijalankan dengan berkesan.

“NUTP turut mencadangkan agar sesi libat urus bersama ibu bapa diadakan supaya pelaksanaan kurikulum baharu dapat difahami dengan jelas dan diterima secara menyeluruh oleh masyarakat,” katanya.

Menyentuh mengenai peruntukan RM700 juta bagi pembinaan 35 blok tambahan pendidikan khas, Fouzi berkata, ia mencerminkan peningkatan kesedaran dan keprihatinan terhadap keperluan murid berkeperluan khas (MBK). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×