SUNGAI PETANI: Kementerian Pendidikan (KPM) telah meminta Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat penyebaran video kejadian rogol membabitkan pelajar perempuan sebuah sekolah di Melaka.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, masyarakat juga pada masa sama diminta tidak menyebarkan video tersebut yang dipercayai sudah tular agar tidak menambah aib melibatkan gadis bawah umur itu.
Katanya, KPM tidak berkompromi terhadap salah laku seksual di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya dan tindakan paling tegas akan diambil terhadap pesalah.
“Kita sudah meminta kementerian yang berkaitan untuk mengambil tindakan untuk memastikan bahawa isu (video) ini tidak disebarkan kerana melibatkan mangsa yang merupakan pelajar.
“Tetapi kita perlukan kefahaman masyarakat juga bahawa (mangsa) ini anak bawah umur yang mesti dilindungi dan kes ini juga sudah berada di bawah bidang kuasa pihak autoriti dan kes ini adalah kes yang sangat serius,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baharu Sungai Lalang, hari ini.
Tambah Fadhlina, siasatan dalaman juga sedang dijalankan oleh KPM untuk melihat secara keseluruhan aspek berkaitan yang perlu ditangani selepas kes terbabit berlaku.
“Insya-Allah esok kita akan turun ke Melaka untuk memastikan bahawa isu-isu ini dapat kita tangani dengan segera dan saya sudah meminta Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad sendiri memantau kes ini secara dekat,” katanya.
Ujar beliau, Dr. Mohd. Azam juga sudah mengarahkan Pengarah Pendidikan Melaka mengambil tindakan segera dalam aspek keselamatan yang perlu dipertingkatkan serta kesemua pelajar dan guru di sekolah itu diberi bimbingan berkaitan kes yang sudah tular itu.
“Kerana kita tahu sekolah ini akan menghadapi peperiksaan akan datang dan masih lagi beroperasi seperti biasa maka sekolah mesti menumpukan perhatian penuh pada isu-isu keselamatan dan memberikan bimbingan psikososial sepenuhnya kepada semua murid dan guru berkaitan kes ini,” katanya.
Akhbar ini melaporkan seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di Melaka dipercayai menjadi mangsa rogol dua pelajar senior dalam kelasnya sendiri, dan kejadian itu turut dirakam serta disaksikan dua pelajar lain.
Kejadian terbongkar petang semalam selepas ibu mangsa menerima maklumat daripada guru sekolah berhubung penyebaran video tidak senonoh membabitkan anak sulungnya sebelum membawa mangsa membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah. – UTUSAN









