WASHINGTON: Rumah Putih memulakan pemecatan besar-besaran dalam kerajaan Amerika Syarikat (AS), ketika Presiden Donald Trump menunaikan ancamannya untuk mengurangkan tenaga kerja persekutuan semasa penutupan kerajaan.
Jurucakap berkata, pemotongan pekerjaan sedang dijalankan di Jabatan Perbendaharaan, agensi kesihatan, jabatan pendidikan, perdagangan dan bahagian keselamatan siber Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.
Namun, jumlah keseluruhan pekerja yang terjejas masih belum dapat disahkan.
Sejak awal tahun ini, kira-kira 300,000 pekerja persekutuan dijangka meninggalkan jawatan mereka, sebagai sebahagian daripada kempen pengurangan saiz kerajaan yang dimulakan Trump.
“Pemecatan kini bermula,” kata Pengarah Belanjawan Rumah Putih, Russell Vought, di media sosial yang merujuk kepada pengurangan tenaga kerja.
Seorang jurucakap pejabat belanjawan menyifatkan pemotongan itu sebagai ‘besar’, tanpa memberikan butiran lanjut.
Sebelum ini, Trump berulang kali mengancam untuk memecat pekerja persekutuan semasa penutupan kerajaan, yang memasuki hari ke-11 semalam.
Beliau juga berkata, pentadbirannya akan menumpukan kepada jabatan kerajaan yang dikendalikan oleh Demokrat.
Trump juga mengarahkan pembekuan sekurang-kurangnya AS$28 bilion (RM118 bilion) dalam dana infrastruktur untuk New York, California dan Illinois.
Kesemua negeri tersebut mempunyai populasi besar pengundi Demokrat dan pengkritik pentadbiran Trump.- AGENSI











