KOTA KINABALU: “Sabah kini benar-benar diarusperdanakan dalam pembangunan Malaysia,” kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika diminta mengulas Belanjawan 2026 yang dibentangkan semalam.
Hajiji menyifatkan peruntukan untuk Sabah berjumlah RM6.9 bilion akan memberi manfaat besar kepada negeri ini.
Katanya, belanjawan itu bukan sekadar angka, ia adalah hasil daripada kestabilan politik Sabah dan keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap kepimpinan negeri.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri yang telah membentangkan belanjawan negara yang progresif,” katanya selepas menyaksikan pembentangan Belanjawan 2026 oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di sini, semalam.
Peruntukan RM6.9 bilion untuk Sabah adalah yang tertinggi pernah diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.
Hajiji berkata, peruntukan sebanyak RM765 juta bagi pembinaan talian elektrik Southern Link akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sabah.
“Turut dimasukkan dalam belanjawan ialah kerja-kerja pembaikan infrastruktur yang rosak akibat bencana alam baru-baru ini yang menjejaskan Sabah, termasuk Institut Pendidikan Guru (IPG) Gaya dengan kos sebanyak RM220 juta serta RM39 juta bagi fasa 2 projek tebatan banjir.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas sokongan berterusan terhadap projek Pan Borneo Sabah dengan peruntukan sebanyak RM1.67 bilion bagi tahun depan.
“Kerajaan Persekutuan memenuhi tuntutan Sabah termasuk dengan menaikkan geran khas interim kepada RM600 juta berbanding RM300 juta pada tahun ini,” katanya. – UTUSAN










