BAITULMUQADDIS: Perang dua tahun Israel terhadap Gaza mengakibatkan kerugian awal melebihi AS$70 bilion (RM295 bilion), menurut pihak berkuasa tempatan pada Jumaat.
“Kerugian yang melanda semua sektor penting ini mencerminkan kemusnahan yang sistematik dan menyeluruh,” kata Ismail Thawabta, Ketua Pejabat Media Kerajaan Gaza, dalam satu sidang akhbar di bandar tengah Deir al-Balah.
Beliau berkata, sektor kesihatan Gaza runtuh sepenuhnya, dengan 38 hospital serta puluhan pusat kesihatan dan ambulans musnah.
Menurut Thawabta, serangan Israel turut memusnahkan 670 sekolah dan 165 universiti serta institusi pendidikan, serta mengorbankan 13,500 pelajar, 830 guru, dan 193 sarjana serta ahli akademik, yang beliau sifatkan sebagai cubaan sengaja untuk menghapuskan kesedaran Palestin.
Beliau menambah tentera Israel juga memusnahkan 835 masjid dan merosakkan sebahagian besar yang lain, menyerang tiga gereja serta merosakkan 40 tanah perkuburan.
Thawabta turut menyatakan kira-kira 300,000 unit perumahan musnah dan 200,000 lagi rosak sebahagian, menyebabkan hampir dua juta penduduk kehilangan tempat tinggal dan terpaksa menetap di khemah lusuh yang tidak sesuai untuk didiami.
Israel menutup lintasan Gaza selama lebih 600 hari, menghalang ratusan ribu trak bantuan serta menyasarkan puluhan dapur amal dan pusat pengagihan makanan, menyebabkan lebih 460 orang awam maut akibat kelaparan dan kekurangan zat makanan, manakala lebih 2,600 lagi terkorban.
Beliau menyeru supaya tindakan diambil untuk memastikan penghentian sepenuhnya dan segera terhadap semua bentuk pembunuhan beramai-ramai, termasuk pengeboman, kebuluran, kepungan dan pemindahan paksa, serta menamatkan sekatan ke atas Gaza, membuka semula semua lintasan, dan memindahkan pesakit untuk menerima rawatan di luar negara.
Beliau turut menggesa penubuhan sebuah jawatankuasa antarabangsa bebas bagi menyiasat jenayah perang dan mempertanggungjawabkan pemimpin Israel tanpa sebarang kekebalan politik atau undang-undang.
Israel pada Jumaat mengumumkan perjanjian gencatan senjata Gaza berkuat kuasa mulai jam 12 tengah hari waktu tempatan (0900 GMT) hari ini.
Menurut laporan media Israel, tentera Israel memulakan fasa pertama pengunduran berperingkat dari Gaza pada Jumaat, dan dijangka melengkapkan pengunduran sepenuhnya ke lokasi yang ditetapkan dalam pelan Presiden AS Donald Trump untuk menamatkan perang di Gaza dalam tempoh 24 jam.











