Sektor pembinaan dianggarkan tumbuh 10.1 peratus tahun ini - Utusan Malaysia

Sektor pembinaan dianggarkan tumbuh 10.1 peratus tahun ini

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKTOR pembinaan dianggarkan mencatat pertumbuhan 10.1 peratus tahun ini selepas berkembang kukuh sebanyak 13.1 peratus pada separuh pertama 2025, sektor itu disokong oleh prestasi positif dalam semua subsektor.

Menurut Tinjauan Ekonomi 2026, pertumbuhan pesat subsektor bangunan bukan kediaman dipacu pelaksanaan projek pelaburan swasta termasuk kemudahan perindustrian, kompleks komersial dan pusat data selaras dengan peningkatan tahap digitalisasi serta aktiviti perniagaan yang rancak.

Jelasnya, subsektor bangunan kediaman pula kekal stabil, didorong permintaan berterusan terhadap perumahan mampu milik dan pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan bagi menggalakkan pemilikan rumah.

“Selain itu, subsektor aktiviti pembinaan khas turut berkembang hasil pelaksanaan projek infrastruktur telekomunikasi dan kerja penambakan pesisir pantai, manakala subsektor kejuruteraan awam mencatat pertumbuhan positif berikutan pelaksanaan projek besar seperti Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Rapid Transit System Link (RTS Link).

“Momentum pertumbuhan sektor pembinaan dijangka berterusan pada separuh kedua 2025 dengan unjuran pertumbuhan 7.3 peratus.

“Subsektor kejuruteraan awam dijangka terus berkembang seiring pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar menjelang penghujung tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). Penerusan projek seperti Sarawak Sabah Link Road (SSLR) dijangka menyokong pertumbuhan subsektor tersebut.

“Pada masa sama, pelaburan dalam pembangunan pusat data di Johor dan Selangor serta bangunan perindustrian dijangka terus mengukuhkan subsektor bangunan bukan kediaman,” katanya.

Subsektor bangunan kediaman pula diunjur berkembang hasil pelancaran projek perumahan mampu milik dan pasaran pertengahan serta pembangunan perbandaran bersepadu di koridor utama negara, disokong persekitaran pembiayaan yang kondusif.

Sementara itu, sektor perlombongan diunjur berkembang sederhana sebanyak 1.1 peratus pada 2025 selepas mencatat penguncupan 3.9 peratus pada separuh pertama tahun ini berikutan prestasi lemah dalam semua subsektor.

“Subsektor gas asli merosot lima peratus disebabkan pengeluaran lebih rendah di semua wilayah, manakala subsektor minyak mentah dan kondensat menyusut 3.1 peratus berikutan gangguan bekalan, khususnya di Sabah.

“Subsektor perlombongan lain, pengkuarian dan perkhidmatan sokongan turut berkurang secara marginal sebanyak 0.5 peratus akibat kelembapan aktiviti dalam segmen perkhidmatan sokongan,” ujarnya.

Bagi separuh kedua 2025, sektor perlombongan dijangka kembali pulih dengan pertumbuhan 6.2 peratus disokong oleh peningkatan pengeluaran gas asli berikutan penstabilan operasi di medan Kasawari dan Jerun di Sarawak.

“Subsektor minyak mentah dan kondensat juga dijangka berkembang semula dengan peningkatan pengeluaran dari Sabah dan Sarawak, manakala subsektor perlombongan lain serta perkhidmatan sokongan diunjur bertambah baik seiring peningkatan aktiviti sokongan industri.

“Dari segi harga, purata minyak mentah Brent dijangka kekal sekitar AS$70 setong meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×