Perbelanjaan pembangunan berkurang 4.8 peratus pada 2025 - Utusan Malaysia

Perbelanjaan pembangunan berkurang 4.8 peratus pada 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERBELANJAAN Pembangunan (DE) dianggar berkurang sebanyak 4.8 peratus  kepada RM80 bilion terutamanya disebabkan oleh keperluan perbelanjaan yang lebih rendah bagi sektor ekonomi pada 2025.

Menurut Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan, peruntukan juga disalurkan secara strategik mengikut keutamaan projek bagi memastikan sumber diagihkan secara optimum selaras dengan pelan pembangunan bagi tahun terakhir Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Sektor ekonomi kekal sebagai penerima terbesar iaitu 45.8 peratus diikuti oleh sosial (34.7 peratus), keselamatan (14.8 peratus) dan pentadbiran am (4.7 peratus).

“Sejumlah RM36.6 bilion diperuntukkan bagi sektor ekonomi dengan penekanan diberikan untuk memacu inisiatif pembangunan dan kemampanan. 

“Subsektor pengangkutan menerima bahagian terbesar iaitu 44.7 peratus daripada jumlah peruntukan sektor khususnya bagi projek infrastruktur utama sedia ada seperti Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak, LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang, Landasan Berkembar Elektrik Gemas ke Johor Bahru dan Rapid Transit System Link antara Johor Bahru dengan Singapura. 

“Peruntukan subsektor alam sekitar pula dijangka meningkat 14.5 peratus kepada RM3 bilion yang mencerminkan tumpuan lebih tinggi diberikan terhadap inisiatif tebatan banjir di Kota Bharu, Kelantan dan Kuching, Sarawak,” katanya.

Selain itu, katanya, peruntukan subsektor  pertanian juga diunjur meningkat 4.6 peratus kepada RM2.9 bilion bagi membiayai Projek Skim Pemindahan Air Jeniang di Kedah serta Projek Pemacu Pertanian yang dilaksanakan di seluruh Semenanjung Malaysia. 

“Sementara itu, peruntukan subsektor perdagangan dan industri dijangka berkurang 12.4 peratus kepada RM2.6 bilion disebabkan penyaluran berperingkat Dana Pembangunan Industri dan Dana Pelaburan Bersama Strategik di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

‘Peruntukan sektor sosial pula dijangka meningkat 8.5 peratus kepada RM27.8 bilion dan kekal sebagai sektor kedua terbesar dan subsektor pelajaran dan latihan menerima bahagian terbesar daripada peruntukan ini yang dianggar meningkat 16.8 peratus  kepada RM14.7 bilion.

“Antara inisiatif utama termasuk penyediaan Dana Latihan bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional serta menaik taraf 56 kolej vokasional di seluruh negara selain projek pembinaan baharu seperti Kompleks Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (Fasa 1) di Kota Tinggi, Johor dan Kolej Matrikulasi Lundu di Kuching, Sarawak,” ujarnya.

Dalam pada itu, perbelanjaan subsektor kesihatan turut dijangka meningkat 16.3 peratus kepada RM6.8 bilion, subsektor perumahan menerima RM1.3 bilion terutamanya bagi Projek Perumahan Rakyat di Pulau Pinang, Sabah dan Pahang serta peruntukan sektor keselamatan pula meningkat 2.5 peratus kepada RM11.9 bilion. 

“Daripada jumlah ini, peruntukan subsektor pertahanan meningkat 2.8 peratus kepada RM7.8 bilion dan keselamatan dalam negeri meningkat 1.8 peratus kepada RM4 bilion, manakala peruntukan sektor pentadbiran om dijangka meningkat 8.0 peratus kepada RM3.7 bilion,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×