PETALING JAYA: Kerajaan mengumumkan peningkatan ketara kadar insentif pembajakan dan insentif racun kepada pesawah bagi membantu mengurangkan beban kos operasi pertanian serta meningkatkan hasil pengeluaran padi negara.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar insentif pembajakan dinaikkan kepada RM160 sehektar semusim, manakala insentif racun meningkat kepada RM300 sehektar semusim bermula tahun ini.
“Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan Insentif Penuaian Padi sebanyak RM50 sehektar semusim bagi menampung penggunaan diesel untuk jentuai.
“Dengan pelbagai bantuan dan subsidi ini, setiap pesawah dianggarkan menerima kira-kira RM4,300 sehektar, berbanding RM3,790 sehektar bagi setiap musim sebelum ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri berkata, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk terus membela nasib pesawah, menjamin kelestarian pengeluaran padi serta memastikan sektor pertanian kekal produktif dan berdaya saing. – UTUSAN










