Kasut bukan sekadar pelengkap gaya, tetapi kunci keyakinan wanita dalam setiap langkah.
Namun, keyakinan itu hanya terserlah apabila kasut yang dipakai selesa dan serasi dengan personaliti pemakainya.
Jenama kasut, Sam Edelman boleh dipertimbangkan untuk gaya anda.
Setiap rekaannya menggabungkan gaya mewah dan selesa, sekali gus memenuhi keperluan wanita moden.
Contohnya, kasut tumit runcing Hazel yang mudah digayakan dari siang hingga ke malam di samping Bianka, rekaan slingback tumit rendah dengan garis kemas dan feminin.
Sandal Bay antara pilihan tepat untuk penampilan kasual setiap hari.
Loafer Loraine dan sepatu nipis, Michaela pula menjanjikan keselesaan klasik dengan sentuhan moden.

Bagi penggemar kasut sukan, sneakers vintaj Langley dengan tapak empuk sesuai untuk aktiviti harian.
Pengarah Urusan Asia Tenggara, Gina Goh berkata, sejak ditubuhkan pada 1987, jenama itu kekal menjadi peneraju kasut mewah moden.
Malah, rekaan ikoniknya seperti but Fringe dan sandal Gigi masih digemari ramai lantas menjadikan jenama ini sinonim dengan rekaan yang melangkaui musim.
“Sam Edelman sentiasa menitikberatkan trend semasa dan rekaan moden tanpa mengabaikan keselesaan pengguna,” katanya.
Kini, wanita Malaysia berpeluang menggayakan jenama ini menerusi pembukaan butik pertamanya di pusat beli-belah The Gardens.
Butik kedua pula bakal dibuka di Sunway Pyramid.










