AS hantar 200 tentera ke Israel pantau gencatan senjata Gaza

AS hantar 200 tentera ke Israel pantau gencatan senjata Gaza

PLAKAD tertulis 'hentikan keganasan Israel' diletakkan di pagar sempadan Israel-Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menghantar kira-kira 200 anggota tentera ke Israel bagi membantu menyokong serta memantau pelaksanaan perjanjian gencatan senjata di Gaza.

Pasukan tersebut akan menjadi sebahagian daripada gabungan yang turut disertai oleh negara sekutu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sektor swasta.

Menurut pegawai yang enggan dikenali, Komando Pusat AS akan menubuhkan sebuah pusat penyelarasan sivil ketenteraan di Israel yang berperanan memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan, serta menyelaras bantuan logistik dan keselamatan ke wilayah Gaza yang terjejas akibat perang.

Kenyataan itu turut memberikan gambaran awal mengenai bagaimana perjanjian gencatan senjata tersebut akan dipantau dan peranan yang bakal dimainkan oleh tentera AS dalam usaha itu.

Selepas Israel dan Hamas bersetuju minggu ini dengan fasa pertama pelan pentadbiran Trump untuk menamatkan pertempuran, masih banyak persoalan yang timbul termasuk isu perlucutan senjata Hamas, pengunduran tentera Israel dari Gaza, serta pembentukan kerajaan awam baharu di wilayah berkenaan.

Seorang pegawai memaklumkan bahawa pasukan baharu itu akan membantu memantau pelaksanaan perjanjian gencatan senjata serta peralihan pentadbiran kepada kerajaan awam di Gaza.

Pusat penyelarasan berkenaan akan dikendalikan oleh kira-kira 200 anggota tentera AS yang mempunyai kepakaran dalam bidang pengangkutan, perancangan, keselamatan, logistik dan kejuruteraan. Pegawai itu turut menegaskan bahawa tiada anggota tentera AS akan dihantar ke dalam Gaza.

Seorang lagi pegawai berkata, anggota tentera yang terlibat datang daripada Komando Pusat AS serta beberapa lokasi lain di seluruh dunia.

Beliau menambah bahawa penghantaran pasukan telah pun bermula dan akan diteruskan sepanjang hujung minggu ini bagi melancarkan persiapan penubuhan pusat berkenaan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×