Malaysia hantar pemerhati pantau pilihan raya Myanmar

Malaysia hantar pemerhati pantau pilihan raya Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Junta Myanmar mengesahkan Malaysia akan menghantar pasukan pemerhati bagi memantau pilihan raya negara itu yang dijadual bermula pada 28 Disember, meskipun pertempuran dengan kumpulan pemberontak terus memuncak.

Perang saudara melanda Myanmar sejak tentera merampas kuasa pada 2021, memenjarakan tokoh demokrasi Aung San Suu Kyi dan menggulingkan kerajaan awam pimpinannya.

Tentera menggambarkan pilihan raya yang dijadual bermula secara berperingkat pada 28 Disember itu sebagai jalan ke arah perdamaian.

Bagaimanapun, pemerhati menganggap pilihan raya tersebut sebagai helah untuk mengesahkan pemerintahan tentera yang berterusan, sementara ia dijangka diboikot oleh ramai bekas ahli parlimen yang digulingkan serta dihalang kumpulan penentang bersenjata di kawasan yang mereka kuasai.

Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, tiba di ibu negara Naypyitaw pada Khamis untuk bertemu dengan ketua junta Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing.

Akhbar milik kerajaan, Global New Light of Myanmar, hari ini melaporkan Mohamad berjanji akan menghantar pasukan pemerhati pilihan raya ke Myanmar.

Sebagai pengerusi blok ASEAN yang terdiri daripada negara-negara Asia Tenggara, Malaysia menjamin ASEAN akan menekankan kerjasama terbaik dengan Myanmar dalam usahanya.

Dalam satu kenyataan semalam, kementerian itu berkata pilihan raya yang dirancang Myanmar serta usaha menghentikan pertempuran merupakan antara agenda perbincangan.

Akhbar Global New Light of Myanmar turut melaporkan sebanyak 57 parti politik ‘yang mematuhi syarat undang-undang’ dan lebih 5,000 calon akan bertanding dalam pilihan raya kebangsaan.

Kerajaan yang dipimpin tentera itu berkata, pilihan raya akan diadakan secara berperingkat bermula 28 Disember, dengan keputusan dijangka diumumkan pada akhir Januari.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×