SHAH ALAM: Akibat bimbang dituduh terlibat dengan pengubahan wang haram, warga emas akhirnya terjebak dengan perangkap penipuan melalui panggilan telefon (phone scam) sehingga membuka empat akaun bank dan mengalami kerugian hampir RM6 juta.
Lebih malang, lelaki berusia 73 tahun itu hanya menyedari perkara tersebut apabila memberitahu hal itu kepada anaknya selepas meninggalkan kesemua kad ATM di sebuah tempat untuk diambil pemangsa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, mangsa yang merupakan bekas pekerja swasta mendakwa menerima panggilan telefon daripada individu yang mengaku sebagai Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) Putrajaya.
Menurutnya, ketika panggilan diterima, mangsa mendakwa disambungkan kepada pegawai kanan polis yang mengaku dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.
“Suspek mengatakan mangsa terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram dan perlu mengisytiharkan harta dan simpanan miliknya.
“(Kemudian) pada Jun 2025, mangsa diarah membuka empat akaun bank dari bank berbeza iaitu Affin Bank, Alliance Bank, Ambak dan Bank Simpanan Nasional sebelum diarah memasukkan wang berjumlah RM5,996,586.51 ke dalam akaun-akaun tersebut.
“Seterusnya, suspek mengarahkan mangsa untuk memasukkan semua kad ATM milik mangsa ke dalam sekeping sampul surat dan meninggalkannya dekat padang permainan di USJ22/1, Subang Jaya serta memberikan maklumat perbankannya,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Jelasnya, selepas disedari diperangkap oleh phone scam, lelaki itu kemudian membuat laporan polis sebelum kes tersebut disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor.
“Polis membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan penipuan menyamar sebagai penjawat awam secara dalam talian,” tegasnya.
Kata Shazeli lagi, orang ramai dinasihatkan supaya jangan mudah percaya dengan panggilan tidak dikenali kerana pihak berkuasa tidak pernah berurusan melalui panggilan telefon.
“Sebarang transaksi melibatkan pihak berkuasa, hanya secara fizikal sama ada di balai polis atau pejabat kerajaan berkaitan. Jangan dedahkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, TAC/OTP atau kata laluan melalui panggilan telefon atau mesej.
“Jangan buat sebarang pindahan wang kepada pihak tidak dikenali dan sentiasa membuat semakan dan pengesahan dahulu tentang kewujudan panggilan sedemikian dengan menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk semakan, nasihat dan aduan,” ujarnya. – UTUSAN











