BERLIN: Polis Jerman mengesahkan suspek utama dalam kes tikaman terhadap Datuk Bandar baharu Herdecke ialah anak angkat perempuannya yang berusia 17 tahun.
Mangsa, Iris Stalzer, 57, yang baru dilantik sebagai Datuk Bandar Herdecke di barat Jerman, ditemui dalam keadaan parah di kediamannya pada Selasa lalu.
Menurut pihak berkuasa, Stalzer memberitahu pegawai penyiasat anak angkat perempuannya sendiri yang melakukan serangan tersebut.
Mangsa kini dirawat di hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil serta tidak lagi dalam bahaya.
Dalam kejadian itu, kedua-dua anak angkatnya, seorang perempuan berusia 17 tahun dan seorang lelaki berusia 15 tahun ditahan bagi membantu siasatan, namun akan dilepaskan di bawah jagaan perkhidmatan kebajikan kanak-kanak.
Pendakwa Raya, Bernd Haldorn memaklumkan serangan tersebut dipercayai berpunca daripada masalah keluarga.
Siasatan awal mendapati anak perempuan Stalzer pada mulanya menghubungi polis sekitar tengah hari, mendakwa ibunya cedera akibat diserang perompak.
Namun, polis menemui bukti yang menimbulkan keraguan terhadap dakwaan itu.
“Beberapa bahan bukti penting ditemui di rumah berkenaan, termasuk dua bilah pisau dan beberapa helai pakaian yang kini dirampas untuk siasatan lanjut,” kata jurucakap polis dalam sidang media di Hagen.
Kes berprofil tinggi itu mencetuskan kejutan dan kecaman daripada pelbagai pihak politik di Jerman, termasuk Canselor, Friedrich Merz, yang menyifatkannya sebagai satu tragedi keluarga yang amat menyedihkan. -AGENSI









