Gempa sederhana gegar Filipina, sekolah di Baguio ditutup

Gempa sederhana gegar Filipina, sekolah di Baguio ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Gempa bumi sederhana kuat hari ini melanda berhampiran bandar pergunungan utara Filipina yang dihuni ratusan ribu penduduk, memaksa orang ramai keluar daripada bangunan dan menyebabkan penutupan sekolah.

Pekerja bergegas keluar daripada bangunan pejabat di bandar yang mempunyai 366,000 penduduk berikutan gempa bumi cetek pada 10.30 pagi (waktu tempatan), menurut penduduk kepada AFP.

Kejadian itu berlaku 10 hari selepas gempa bumi kuat yang mengorbankan lebih 70 nyawa di tengah Filipina.

“Kami akan memeriksa jika terdapat kerosakan,” kata pentadbir bangunan, Ralph Cabuag kepada AFP ketika lebih 300 pekerja dan pesakit keluar dari pejabat kesihatan setinggi tiga tingkat di bandar Baguio.

Pejabat seismologi kerajaan pada awalnya melaporkan ukuran gempa pada 4.8 magnitud dan menjangkakan kerosakan, sebelum kemudiannya menurunkan kepada 4.4 magnitud.

Datuk Bandar Baguio, Benjamin Magalong, menutup semua sekolah rendah dan menengah di bandar itu, menurut Pejabat Maklumat Awam di laman Facebook.

Pejabat seismologi negara berkata, pusat gempa bumi terletak di bandar Pugo, wilayah La Union, berhampiran Baguio.

Gempa bumi berukuran 7.8 magnitud pada Julai 1990 meragut kira-kira 1,600 nyawa di dalam dan sekitar Baguio, bandar yang terletak di atas banjaran gunung dan merupakan antara destinasi pelancongan utama negara itu.

Terdahulu, kerajaan Filipina hari ini turut mengumumkan peningkatan jumlah kematian akibat gempa bumi di Cebu kepada 74 orang, dengan dua korban baharu dilaporkan di bandar Medellin dan Tabogon.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×