YALA (THAILAND): Lapan letupan bom buatan sendiri menggegarkan sekitar bandar ini yang berlaku berturut-turut bermula pukul 8.03 malam sehingga 10.52 malam tadi
Jurucakap polis berkata, letupan pertama berlaku pada pukul 8.03 malam di kawasan Suan Khwan Muang, letupan kedua (8.14 malam), ketiga (8.22 malam), keempat (8.52 malam), kelima (9.24 malam), keenam (9.42 malam) ketujuh (10.31 malam) dan kelapan 10.52 malam.
“Semua letupan bom itu berlaku di kawasan perbandaran Yala iaitu di sekitar lokasi rekreasi awam. Tiada kecederaan dilaporkan dalam semua kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, anggota Pusat Sains Forensik 10 Yala masih menjalankan siasatan di tempat kejadian pagi ini bagi mengumpul bukti berkaitan letupan tersebut.
Susulan letupan itu, Timbalan Gabenor Wilayah Yala, Kongsakul Chantharat turut ke lokasi untuk melihat keadaan dan situasi terkini di kawasan tersebut malam tadi.
Semalam, bandar ini digegarkan dengan insiden tiga butir bom buatan sendiri diletupkan di sekitar Pusat Belia Perbandaran Yala. – UTUSAN










