Ziyad tidak goyah kemunculan pelapis baharu

Ziyad tidak goyah kemunculan pelapis baharu

Muhammad Ziyad Zolkifli menunjukkan pingat gangsa yang dimenanginya di Kejohanan Para Dunia di New Delhi, India, baru-baru ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli mengakui cabaran bersaing di peringkat dunia semakin sengit apabila berdepan generasi pelapis yang jauh lebih muda dan bersemangat tinggi.

Ziyad yang meraih pingat gangsa pada Kejohanan Olahraga Para Dunia baru-baru ini berkata, usia bukan alasan untuk mengundur diri sebaliknya menjadi motivasi untuk terus membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa.

“Ya, betul. Sejujurnya faktor usia memang ada kesan, tapi saya nak tunjukkan yang usia bukan satu penghalang untuk saya terus berjaya dan melakar nama di pentas dunia. Kalau tengok lawan saya, kebanyakan mereka 10 tahun lebih muda daripada saya.

“Saya sebagai atlet senior dalam kategori saya tetap nak buktikan saya masih boleh berdaya saing bersama atlet lain dari seluruh dunia. Saya kena tunjuk biarpun dah berusia, saya masih berbisa. Itu semangat saya. Saya tak nak orang pandang usia sebagai alasan untuk berhenti berjuang,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, kelmarin.

Ziyad, 35, yang sudah lebih 15 tahun mengharumkan nama negara berkata, dia kini memberi tumpuan untuk mengekalkan kestabilan prestasi dan mencari formula baharu bagi memperbaiki aspek teknikal serta ketenangan diri ketika bertanding.

Beliau juga mengakui persaingan di peringkat antarabangsa kini lebih mencabar dengan kemunculan atlet muda yang memiliki kekuatan fizikal dan teknik lebih mantap.

“Persaingan sekarang memang sengit. Semua lawan lebih kuat dan lebih berdaya saing. Tapi saya tetap rasa bangga sebab masih mampu bersaing dengan mereka dan membawa pulang sesuatu untuk negara,” katanya

Zoyad kini menanti lampu hijau untuk beraksi di Sukan Para ASEAN di Thailand pada Januari depan, selepas sebelum ini terlepas peluang menyertainya.

Katanya, temasya itu bakal menjadi medan penting untuk mengukur prestasi semasa sebelum kembali fokus kepada kejohanan besar lain pada tahun depan.

“Saya tak tahu lagi macam mana perbincangan, saya pun tengah berbincang dengan jurulatih. Itulah salah satu platform temasya yang besar bagi saya.

“Para ASEAN sebelum ni saya tak dapat main atas faktor ada pemilihan apa semua. Kali ni nama saya ada, insya-Allah dapat main. Saya harap dapat pergi juga sebenarnya,” katanya.

Untuk rekod, Ziyad gagal mempertahankan emasnya di New Delhi, India apabila meraih gangsa dalam kategori T20 (kecacatan intelektual) dengan catatan 17.26 meter (m) di belakang pemenang pingat emas dari Ukraine, Oleksandr Yarovyi (17.73m). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×