Denmark bakal larang media sosial untuk pengguna bawah 15 tahun - Utusan Malaysia

Denmark bakal larang media sosial untuk pengguna bawah 15 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COPENHAGEN: Kerajaan Denmark pada Selasa mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan larangan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak di bawah umur 15 tahun sebagai usaha melindungi generasi muda daripada kesan buruk dunia digital.

Perdana Menteri Mette Frederiksen dalam ucapan sempena pembukaan sesi Parlimen musim luruh, menyatakan kebimbangan telefon pintar dan media sosial telah ‘merompak zaman kanak-kanak’ rakyat negara itu.

“Telefon bimbit dan media sosial merampas zaman kanak-kanak anak-anak kita.

“60 peratus remaja lelaki Denmark berusia 11 hingga 19 tahun kini lebih suka duduk di rumah daripada meluangkan masa bersama rakan-rakan,” kata Frederiksen di hadapan ahli Parlimen.

Walaupun beliau tidak menjelaskan secara terperinci platform mana yang akan terlibat atau bagaimana larangan itu akan dikuatkuasakan, kerajaan bercadang memberikan kuasa kepada ibu bapa untuk membenarkan anak mereka menggunakan media sosial seawal usia 13 tahun, di bawah pengawasan tertentu.

Langkah ini menjadikan Denmark negara Eropah terkini yang mengkaji pendekatan lebih tegas terhadap penggunaan media sosial dalam kalangan remaja, susulan kebimbangan global tentang kesihatan mental, ketagihan digital, dan keselamatan dalam talian.

Tindakan Denmark ini seiring dengan langkah serupa oleh negara lain. Australia, sebagai contoh, meluluskan larangan penggunaan media sosial bagi individu di bawah umur 16 tahun pada penghujung tahun 2024.

Namun, butiran mengenai pelaksanaannya masih belum jelas. Antara platform yang tertakluk kepada larangan itu termasuk Facebook, Snapchat, TikTok dan YouTube.

Sementara itu, Greece pada Jun lalu mencadangkan satu ‘had umur matang digital’ ditetapkan di seluruh Kesatuan Eropah (EU), dengan akses kepada media sosial oleh kanak-kanak memerlukan kebenaran ibu bapa.

Cadangan Denmark ini masih dalam peringkat awal dan tarikh pelaksanaan rasmi masih belum diumumkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×