RM8.8 juta baiki cerun berisiko di Pulau Pinang

RM8.8 juta baiki cerun berisiko di Pulau Pinang

ZAIRIL Khir Johari (kanan) meninjau Jalan Batu Ferringhi yang terlibat dengan projek pembaikan cerun di Pulau Pinang. – UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerja-kerja pembaikan cerun di kawasan berisiko runtuhan sekitar daerah Timur Laut dan Barat Daya kini dipergiat apabila Kementerian Kerja Raya (KKR) meluluskan peruntukan khas berjumlah RM8.8 juta bagi tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa In­frastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, peruntukan itu merupakan tambahan RM4.9 juta berbanding tahun lalu, sekali gus membolehkan lebih banyak projek cerun dapat dilaksanakan demi menjamin ke­selamatan pengguna jalan raya.

“Kelulusan dana ini diterima susulan surat permohonan yang dikemukakan kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 16 April lalu bagi membaiki cerun-cerun yang dikenal pasti be­risiko di seluruh negeri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tahun ini pula, Pulau Pinang menerima tambahan besar sebanyak RM8.8 juta untuk kerja-kerja pembaikan cerun dan kerja-kerja ini akan dijalankan secepat mungkin terutama di jalan-jalan yang dikenal pasti berisiko tinggi,” katanya selepas meninjau Jalan Batu Ferringhi di sini, semalam.

Menurut Zairil, sebanyak 15 projek dilaksanakan di daerah Timur Laut dengan kos ke­seluruhan RM7.6 juta manakala satu projek di daerah Barat Daya bernilai RM1.18 juta.

“Projek-projek ini melibatkan laluan persekutuan utama seperti Jalan Yahya Petra, Jalan Batu Ferringhi, Jalan Tanjung Bungah dan Jalan Paya Terubong.

“Setiap lokasi dipilih berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan oleh JKR bersama agensi teknikal termasuk Ja­batan Mineral dan Geosains (JMG),” katanya.

Jelas Zairil, kerja-kerja di tapak telah dimulakan sejak Ogos lalu dengan tujuh projek dijangka siap sepenuhnya menje­lang hujung tahun ini manakala baki sembilan lagi dijangka di­siapkan tahun depan.

“Antara komponen utama projek termasuk kerja penyia­satan tanah, pembersihan tapak serta pembaikan cerun menggunakan kaedah teknikal seperti ‘tieback wall’, ‘soil nail’ dan ‘rubble wall’ mengikut keperluan di setiap lokasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×