Rumah Hakim Carolina Selatan terbakar selepas terima ancaman bunuh

Rumah Hakim Carolina Selatan terbakar selepas terima ancaman bunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLUMBIA: Polis di South Carolina sedang menyiasat insiden kebakaran memusnahkan rumah milik Hakim Mahkamah Litar negeri itu, Diane Goodstein yang dilaporkan menerima ancaman bunuh sejak beberapa minggu lalu berhubung tugasan kehakimannya.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang South Carolina, (SLED), Mark Keel berkata, setakat ini tiada bukti menunjukkan kebakaran itu berpunca daripada perbuatan khianat.

“Buat masa ini, belum ada bukti yang menunjukkan kebakaran itu sengaja dicetuskan. Siasatan terhadap insiden di pantai Edisto itu masih aktif dan sedang dijalankan.

“Saya menggesa orang ramai, wakil rakyat, serta pihak media supaya bertindak dengan penuh tanggungjawab dan tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan,” katanya.

Ketua Hakim Mahkamah Agung Carolina Selatan, John Kittredge berkata, kebakaran itu berkemungkinan berpunca daripada letupan.

Namun Keel menjelaskan pada Isnin, hasil siasatan awal tidak menemui sebarang bukti berlakunya letupan sebelum kebakaran.

Menurut laporan portal tempatan FITSNews, kebakaran bermula sekitar pukul 11.30 pagi (waktu tempatan) pada Sabtu.

Goodstein tidak berada di rumah ketika kebakaran tercetus di rumah tiga tingkat miliknya yang terletak dalam komuniti berpagar mewah di Edisto Beach, daerah Colleton itu.

Namun, sekurang-kurangnya tiga ahli keluarganya termasuk suaminya yang juga bekas senator negeri dari Parti Demokrat, Arnold Goodstein serta anak lelaki mereka dilaporkan parah dan kini dirawat di hospital.

Pasukan bomba dari Daerah Kebakaran St. Paul yang tiba di lokasi berkata, mangsa terpaksa diselamatkan menggunakan kayak kerana api marak di kawasan sekeliling rumah.

Menurut beberapa sumber, Goodstein, 69, menerima ancaman bunuh berulang kali dalam beberapa minggu sebelum kejadian.

Bulan lalu, beliau membuat keputusan menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri daripada menyerahkan fail pengundi kepada Jabatan Kehakiman (DOJ), keputusan yang kemudian dibatalkan oleh Mahkamah Agung negeri selepas dikritik secara terbuka oleh Penolong Peguam Negara bagi Hak Sivil, Harmeet Dhillon.

Permintaan DOJ itu dibuat bagi melaksanakan perintah eksekutif Presiden, Donald Trump pada Mac yang bertujuan menyekat bukan warganegara daripada mendaftar sebagai pengundi.

Perintah tersebut menuntut maklumat lebih tiga juta pengundi berdaftar, termasuk nama, alamat, nombor lesen memandu dan nombor keselamatan sosial.

Pentadbiran Trump ketika ini giat melaksanakan perubahan besar terhadap sistem pilihan raya atas nama integriti, termasuk meminta dan menyaman beberapa negeri bagi mendapatkan data daftar pemilih untuk membina pangkalan data pusat.

Setakat ini, lebih 30 negeri dilaporkan menerima permintaan berkenaan.

Langkah itu mendapat kritikan meluas daripada pemerhati dan kumpulan hak asasi yang menyifatkannya sebagai cubaan menafikan hak mengundi golongan terpinggir serta campur tangan terhadap kuasa negeri dalam mengurus pilihan raya.

Insiden kebakaran yang tidak diketahui puncanya serta rekod ancaman terhadap Goodstein mencetuskan persoalan sama ada ia merupakan satu lagi contoh keganasan bermotifkan politik di AS.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×