TIBET: Sekurang-kurangnya seorang pendaki maut, manakala lebih 200 lagi masih terperangkap di cerun timur Gunung Everest selepas ribut salji mengejut melanda kawasan pergunungan berkenaan sejak hujung minggu lalu.
Ribut salji yang bermula pada petang Jumaat itu semakin buruk sehingga menjejaskan ratusan pendaki dan pelancong yang bercuti sempena Minggu Emas di China.
Menurut laporan media rasmi China, operasi menyelamat giat dijalankan dengan lebih 350 orang berjaya dibawa ke kawasan selamat di pekan kecil Qudang yang terletak pada ketinggian lebih 4,900 meter dari paras laut.
Pihak berkuasa turut memaklumkan semua pendaki yang masih terperangkap sudah dapat dihubungi, manakala ratusan penduduk kampung dan pasukan penyelamat dikerahkan bagi membersihkan laluan yang diselaputi salji tebal.
Jurugambar alam semula jadi, Dong Shuchang, antara ratusan pelancong yang menuju ke kawasan itu untuk merakam keindahan Himalaya dari lereng Tibet, berkata ribut salji bermula hanya beberapa jam selepas beliau memulakan pendakian pada Sabtu.
“Petir dan guruh tidak berhenti. Salji turun terlalu lebat sehingga saya hampir tidak dapat tidur,” katanya kepada media tempatan.
Menurutnya, kumpulannya yang terdiri daripada 20 orang terpaksa berpatah balik selepas mendaki sehingga 4,600 meter apabila pakaian kalis hujan mereka gagal menahan kesejukan dan beberapa anggota menunjukkan tanda-tanda hipotermia.
“Saya pernah ke Himalaya banyak kali, tetapi tidak pernah alami cuaca seburuk ini,” katanya lagi.
Cuaca luar jangka itu berlaku ketika China meraikan cuti panjang sempena Minggu Emas, musim pelancongan domestik yang biasanya menawarkan langit cerah dan suhu nyaman di kawasan Gunung Everest.
Bagaimanapun, tahun ini cuaca ekstrem melanda rantau itu apabila Nepal berdepan hujan lebat dan banjir yang mengorbankan sekurang-kurangnya 47 orang, manakala di bahagian timur China, Taufan Matmo memaksa lebih 150,000 penduduk berpindah dari rumah masing-masing. – AGENSI











