Universiti Al-Azhar di Gaza musnah dibom tentera Israel - Utusan Malaysia

Universiti Al-Azhar di Gaza musnah dibom tentera Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY: Serangan udara Israel pada Ahad memusnahkan sepenuhnya Universiti Al-Azhar di Gaza City dalam satu lagi gelombang pengeboman besar-besaran ke atas wilayah yang dikepung itu, menurut sumber Palestin.

Serangan tersebut mengakibatkan beberapa orang awam cedera serta kemusnahan besar pada kediaman dan infrastruktur di sekitarnya.

Agensi Berita Palestin melaporkan, pesawat perang Israel turut menyerang khemah pelarian berhampiran bandar Asdaa, di utara Khan Yunis yang menempatkan penduduk berpindah serta menyebabkan ramai cedera.

Dalam insiden berasingan, bedilan artileri Israel turut menyasarkan orang ramai yang sedang menunggu bantuan kemanusiaan di timur Wadi Gaza, manakala serangan udara dilaporkan mengenai kawasan kejiranan Al-Sabra, Al-Jalaa dan Al-Thalathini di sekitar Persimpangan Tayaran, memusnahkan bangunan kediaman serta merosakkan rumah berhampiran.

Di tengah Gaza, pesawat Israel turut membedil kem pelarian Maghazi, menyebabkan kecederaan dan kemusnahan harta benda awam.

Letupan yang memusnahkan Universiti Al-Azhar itu disifatkan sebagai serangan paling besar pada hari berkenaan dengan institusi pendidikan ternama itu kini hanya tinggal runtuhan.

Serangan tersebut berlaku ketika kempen pengeboman Israel semakin diperluas, dengan kemudahan awam dan infrastruktur utama Gaza menjadi sasaran utama. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×