PARLIMEN: Tiada cadangan gabung institusi TVET bawah satu kementerian

PARLIMEN: Tiada cadangan gabung institusi TVET bawah satu kementerian

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk menggabungkan semua institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah satu kementerian, sebaliknya memilih pendekatan penyelarasan berpusat lebih praktikal bagi memperkukuh ekosistem TVET negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan itu dilaksanakan dengan memperkukuh dasar serta inisiatif strategik di peringkat nasional bagi memastikan pelaksanaan TVET lebih tersusun dan berkesan.

Katanya, sebagai langkah utama, kerajaan telah menubuhkan Majlis TVET Negara (MTVET) sebagai platform tertinggi dalam membuat keputusan dasar berkaitan hala tuju TVET kebangsaan.

“Keanggotaan MTVET merangkumi semua kementerian penyedia TVET serta pelbagai pemegang taruh berkaitan.

“Menerusi kerjasama dan komitmen semua pihak, MTVET menjadi badan penyelaras utama yang merencana agenda TVET negara dan berperanan sebagai pemacu utama dalam merealisasikan hasrat kerajaan memperkasa TVET,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai sama ada kerajaan bercadang untuk menyatukan atau menyelaras institusi yang menawarkan program TVET di bawah satu bumbung kementerian bagi tujuan pemerkasaan lebih berfokus.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan turut merancang untuk menubuhkan Suruhanjaya TVET sebagai satu daripada strategi di bawah inisiatif Memperkukuh Ekosistem TVET di Malaysia melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Suruhanjaya TVET akan menjadi entiti khusus dengan mandat yang jelas untuk mengawal selia, memantau dan menyelaras pelaksanaan TVET secara bersepadu di peringkat nasional.

“Dengan adanya suruhanjaya ini, keseluruhan ekosistem TVET yang melibatkan kementerian, agensi dan pihak berkepentingan dapat digembleng secara lebih teratur, cekap dan berkesan selaras dengan hala tuju pembangunan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×