Tiga kakak kerah kudrat pastikan adik kekal bersekolah

Tiga kakak kerah kudrat pastikan adik kekal bersekolah

NUR Zuriati Kamaruddin (belakang, kanan) bersama lima daripada enam adiknya di rumah sewa mereka di Kampung Padang Bongor, Kota Bharu, Kelantan. – UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tiga orang kakak dari Kampung Padang Bongor di sini, sanggup mengerah kudrat bagi memastikan empat adik mereka tetap ke sekolah meski mereka hidup dalam serba kekurangan.

Nur Zuriati Kamaruddin, 22, berkata, dia dan dua adiknya iaitu Nur Zulaiha, 21, serta Nurzu Akmaniza, 18, berbuat demikian semata-mata mahu melihat empat adik mereka itu tidak ketinggalan dalam pelajaran.

“Ibu (Rosnani Abdullah) meninggal dunia pada Mei lalu akibat kanser serviks pada usia 50 tahun. Sebelum itu, arwah emak berpisah dengan ayah pada April lepas. Sebelum arwah emak sakit dan berpisah, saya dan Nur Zulaiha sudah bekerja sebagai pembantu katering untuk menyara keluarga serta membayar rumah sewa,

“Kami nekad berbuat demikian kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa dan terus berusaha bagi memastikan empat adik menamatkan pe­ngajian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Nur Zuriati berkata, bagi meringankan beban perbelanjaan, mereka membahagikan tugas untuk memastikan kantu­ngan kewangan tidak berdepan ma­salah.

“Gaji bulanan yang saya terima sebanyak RM1,700 digunakan untuk membayar ansuran motosikal dan tunggakan bayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPN) serta sewa rumah.

“Nur Zulaiha pula menguruskan perbelanjaan dapur dan wang persekolahan untuk empat adik yang berusia antara sembilan tahun hingga 16 tahun termasuk pasangan kembar,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian pada akaun 2205419861 Bank Rakyat (Nur Zulaiha Kamaruddin) atau boleh menghubungi 016‑7374650.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×