WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa rundingan Gaza sepanjang hujung minggu antara Hamas serta perantara Arab dan Islam berjalan dengan ‘sangat positif’.
Rundingan yang berlangsung di Kaherah itu dalam usaha membebaskan tebusan, menamatkan perang di Gaza dan mencapai keamanan di Asia Barat.
Menurut Trump, perbincangan itu ‘sangat berjaya dan berjalan pantas, dengan pasukan teknikal dijadualkan bertemu semula di Mesir pada Isnin bagi menyelesaikan serta menjelaskan butiran akhir.
“Saya dimaklumkan fasa pertama sepatutnya dapat disiapkan minggu ini, dan saya meminta semua pihak untuk bergerak pantas,” katanya menerusi hantaran di platform Truth Social.
Beliau turut menegaskan rundingan berkenaan menunjukkan kemajuan ketara ke arah mencapai matlamat damai yang sekian lama diusahakan di rantau tersebut.
Bagaimanapun, tidak jelas sama ada kenyataan Trump mengenai ‘fasa pertama’ merujuk kepada kemungkinan pembebasan tebusan yang akan bermula minggu ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berharap tebusan dapat dibebaskan semasa perayaan Sukkot, yang bermula malam Isnin dan berlangsung selama seminggu, diikuti dengan sambutan Simhat Torah, ulang tahun serangan Hamas pada 7 Oktober menurut kalendar Ibrani.
“Saya akan terus memantau konflik berusia berabad-abad ini. Masa sangat penting, jika tidak pertumpahan darah akan menyusul, sesuatu yang tiada siapa ingin lihat,” tulis Trump.
PERANG GAZA MASIH BELUM TAMAT
Delegasi Hamas yang diketuai Ahli Majlis Perundingan Palestin, Khalil Al-Hayya, tiba di Mesir kelmarin untuk menyertai wakil AS dan Qatar dalam rundingan mengenai penamatan konflik.
Lawatan itu merupakan kunjungan pertama Khalil ke Mesir sejak beliau terselamat daripada serangan udara Israel di Doha, Qatar, bulan lalu.
Trump sebelum ini mengemukakan pelan 20 perkara yang bertujuan menamatkan pertempuran di Gaza, membebaskan baki tebusan dan menentukan masa depan wilayah tersebut.
Israel dan Hamas dilaporkan bersetuju dengan sebahagian daripada pelan berkenaan.
Jumaat lalu, Hamas menerima cadangan pembebasan tebusan serta beberapa elemen lain, namun mengelak daripada menyentuh isu sensitif termasuk tuntutan melucutkan senjata.
Trump menyambut baik maklum balas Hamas dan menyatakan keyakinan kumpulan pejuang tersebut menunjukkan kesediaan untuk mencapai keamanan berkekalan.
Beliau turut menggesa Israel menghentikan serangan ke atas Gaza serta-merta, namun rejim masih terus membedil wilayah berkenaan dan menambahkan angka korban baharu.
Namun, dakwaan Trump tidak selari dengan kenyataan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, yang menegaskan perang di Gaza masih belum berakhir walaupun kedua-dua pihak bersetuju terhadap beberapa bahagian pelan tersebut.
“Kita akan tahu dalam masa terdekat sama ada Hamas benar-benar serius atau tidak berdasarkan perbincangan teknikal mengenai urusan logistik pembebasan tebusan,” katanya dalam temu bual program Meet the Press terbitan NBC News.
RANGKA PERJANJIAN KOMPREHENSIF
Seorang pegawai yang dimaklumkan mengenai rundingan di Mesir berkata, perunding akan menumpukan usaha untuk merangka perjanjian komprehensif sebelum gencatan senjata dapat dilaksanakan.
“Pendekatan ini berbeza daripada pusingan rundingan sebelum ini yang menggunakan kaedah berfasa, di mana fasa pertama dipersetujui terlebih dahulu dan kemudian memerlukan rundingan tambahan bagi mencapai fasa seterusnya dalam gencatan senjata.
“Dalam rundingan terdahulu, proses itu sering menemukan jalan buntu pada fasa susulan, dan kini pengantara berusaha sedapa upaya untuk mengelak pendekatan tersebut kali ini,” kata pegawai itu kepada Reuters.
Sementara itu, Rubio memberitahu rancangan This Week terbitan ABC, garis masa untuk memuktamadkan perjanjian pembebasan tebusan masih belum pasti, namun rundingan tidak boleh mengambil tempoh berminggu atau berhari.
Pelan berkenaan membangkitkan harapan terhadap keamanan dalam kalangan rakyat Palestin yang kini dua tahun berdepan peperangan, namun Israel tetap rakus melancarkan serangan.
Pesawat dan kereta kebal tentera terus menyerang beberapa kawasan di seluruh wilayah, mengorbankan sekurang-kurangnya 19 orang setakat Ahad, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.










