Politik songsang racun pembangunan negara

Politik songsang racun pembangunan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POLITIK sepatutnya menjadi wahana membina negara, mengangkat martabat rakyat dan memastikan pembangunan berterusan. Namun, apabila politik songsang berakar, kepentingan rakyat diketepikan, manakala kuasa dan keuntungan peribadi menjadi agenda utama.

Politik sebegini bukan sahaja menjejaskan integriti kepimpinan, malah merencatkan pembangunan ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan sosial.

Kestabilan politik ialah asas kepada pembangunan. Negara yang stabil mampu menarik pelaburan, memperkukuh ekonomi serta membangunkan modal insan. Sebaliknya, politik songsang melahirkan dasar tidak konsisten, iklim pelaburan tidak menentu dan akhirnya merugikan rakyat melalui pengangguran, inflasi serta penurunan kualiti hidup.

Korupsi pula menjadi ciri paling jelas politik songsang. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa menghakis kepercayaan rakyat serta menelan sumber negara yang sepatutnya digunakan untuk sekolah, hospital atau infrastruktur moden. Dalam jangka panjang, negara kehilangan daya saing kerana pembangunan terbantut.

Lebih buruk, politik songsang menanam budaya pecah dan perintah. Sentimen perkauman, agama dan ideologi sempit digunakan untuk mengekalkan kuasa, meretakkan perpaduan nasional dan menggagalkan usaha mengejar kemajuan bersama. Situasi ini jelas di beberapa negara Timur Tengah yang hancur akibat politik identiti melampau.

Zimbabwe, Venezuela dan Myanmar ialah contoh nyata bagaimana politik songsang menghancurkan sebuah negara. Zimbabwe pernah menjadi ‘permata Afrika’ tetapi runtuh kerana korupsi dan dasar salah urus.

Venezuela yang kaya minyak musnah akibat dasar populis dan rasuah hingga rakyatnya berhijrah besar-besaran. Myanmar pula terperangkap dalam perebutan kuasa junta tentera, menjauhkan pelaburan dan meminggirkan rakyat.

Politik songsang juga membantutkan modal insan. Sistem pendidikan dijadikan alat propaganda, bukannya wadah melahirkan generasi kritis. Merit dan kompetensi diketepikan menyebabkan penghijrahan tenaga mahir yang melemahkan daya saing jangka panjang.

Malaysia juga tidak kebal. Pergolakan politik dengan pertukaran kerajaan dalam tempoh singkat membangkitkan kebimbangan, seolah perebutan kuasa lebih penting daripada agenda rakyat. Jika berlarutan, keyakinan pelabur akan terus merosot dan dasar pembangunan sukar dilaksanakan dengan konsisten.

Justeru, jelaslah politik songsang ialah racun yang melumpuhkan daya saing negara. Hanya politik berintegriti, adil dan berpaksikan rakyat mampu menjamin masa hadapan negara yang stabil, makmur dan lestari.-UTUSAN

AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×