Tengku Maimun dilantik Profesor Ikhtisas Fakulti Undang-Undang UKM

Tengku Maimun dilantik Profesor Ikhtisas Fakulti Undang-Undang UKM

Tengku Maimun (tengah) yang merupakan wanita pertama yang menjadi Ketua Hakim Negara bersara wajib pada 1 Julai lalu selepas menerajui badan kehakiman selama enam tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dilantik sebagai Profesor Ikhtisas di Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkuat kuasa 1 Oktober lalu.

Perkara itu dimaklumkan Fakulti Undang-Undang UKM dalam platform Facebook hari ini.

“Sekalung tahniah diucapkan kepada mantan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat atas pelantikan sebagai Profesor Ikhtisas di Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia berkuat kuasa 1 Oktober 2025,” katanya.

Tengku Maimun yang merupakan wanita pertama yang menjadi Ketua Hakim Negara bersara wajib pada 1 Julai lalu selepas menerajui badan kehakiman selama enam tahun.

Beliau yang dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan dilantik memegang jawatan tertinggi kehakiman pada 2 Mei 2019 menggantikan Tan Sri Richard Malanjum yang bersara pada 12 April 2019 selepas lanjutan masa enam bulan.

Hakim wanita pertama dilantik sebagai Ketua Hakim Negara itu memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya pada 1982.

Menurut laman web Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), Tengku Maimun memulakan kerjaya dalam bidang perundangan pada tahun 1982 sebagai Pegawai Undang-Undang di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan kemudian pada tahun 1984 sebagai Pegawai Undang-Undang di Majlis Perbandaran Seremban, Negeri Sembilan.

Antara jawatan lain yang dipegangnya termasuk Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan berkhidamt sebagai Pegawai Khas kepada Hakim Besar Malaya dan seterusnya kepada Ketua Hakim Negara serta Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia pada tahun 2005 hingga 2006.

Pada 2 Oktober 2006, Tun Tengku Maimun dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Pada 5 September 2007, beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dan pernah berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×