Israel masih ingin awasi Gaza walaupun setuju undur tentera

Israel masih ingin awasi Gaza walaupun setuju undur tentera

SEORANG budak lelaki duduk di atas tiang lampu yang tumbang ketika orang ramai mengambil bantuan kemanusiaan di koridor Netzarim, di Nuseirat, tengah Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa berjaya memujuk Israel untuk bersetuju dengan garis pengunduran tentera Zionis di Gaza, menjelang rundingan penting di Kaherah yang akan memulakan fasa pertama pelannya bagi menamatkan perang di wilayah berkenaan.

Trump menyifatkan persetujuan Hamas untuk membebaskan semua tebusan dan rancangan itu sebagai peluang kemenangan untuk Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan menegaskan pemimpin itu tidak mempunyai pilihan selain menyokongnya.

Menurut laporan, para penasihat Trump memaklumkan Netanyahu pada awalnya mempunyai beberapa kebimbangan terhadap cadangan itu, namun bersetuju untuk meneruskannya selepas perbualan telefon dengan Trump pada Jumaat.

“Kami menerima sambutan yang sangat baik terhadap pelan ini, seluruh dunia menyokongnya, Bibi (Netanyahu) menyokong. Hamas juga sudah melangkah jauh, mereka mahu melaksanakannya. Sekarang kita hanya perlu memuktamadkannya,” kata Trump kepada Axios.

Netanyahu dilaporkan turut mengarahkan pasukan perunding Israel ke Kaherah untuk memuktamadkan butiran teknikal pembebasan tebusan, sambil menegaskan matlamat Israel dan AS ialah menamatkan rundingan dalam tempoh beberapa hari sahaja walaupun tentera rejim masih ‘galak’ menyerang dan mengebom penduduk Palestin di seluruh Gaza.

Netanyahu mendakwa selepas pembebasan semua tebusan, fasa kedua pelan itu akan menyaksikan Hamas dilucutkan senjata sepenuhnya dan Gaza dijadikan zon bebas tentera sama ada secara diplomatik mengikut pelan Trump atau melalui tindakan ketenteraan Israel.

Malah, beliau menegaskan, kesediaan Hamas untuk melepaskan semua tebusan hanya tercapai hasil tekanan ketenteraan dan usaha diplomatik berterusan pihaknya.

Netanyahu menolak pandangan pegawai kanan mengenai usaha membawa pulang kesemua tebusan tidak mungkin dilakukan tanpa pengunduran penuh tentera rejim dari Gaza.

Menurut Netanyahu, dalam fasa pertama pelan itu, semua tebusan dibebaskan dan Angkatan Pertahanan Israel (IDF) akan berundur ke kedudukan yang membolehkannya terus mengawasi Gaza.

“Ini benar, Israel boleh membebaskan semua tebusan tanpa meninggalkan Gaza sepenuhnya,” katanya.

Ketika media antarabanga melaporkan mengenai serangan udara maut Israel di Gaza City, Trump dalam catatan di platform Truth Social menyatakan penghargaan terhadap keputusan Netanyahu menghentikan sementara pengeboman bagi memberi peluang kepada perjanjian pembebasan tebusan dan damai untuk disiapkan.

“Sebaik Hamas mengesahkan kesepakatan itu, gencatan senjata akan berkuat kuasa serta-merta, pertukaran tebusan dan tahanan akan bermula dan dan kita akan mewujudkan syarat untuk fasa pengunduran seterusnya yang bakal mengakhiri bencana selama 3,000 tahun ini,” kata Trump.

Media melaporkan sekurang-kurangnya 70 orang terkorban dalam pengeboman dan serangan udara di Palestin sejak Trump menggesa Israel menghentikan serangan pada lewat Jumaat.

NETANYAHU UNDUR TENTERA

Dalam kenyataan susulan, Trump berkata, Israel bersetuju dengan satu garis pengunduran awal di Gaza yang sudah ditunjukkan kepada Hamas.

Garis itu, menurut peta yang dikongsi Trump, sejajar dengan sempadan kawalan Israel sebelum serangan besar-besaran di Gaza City bulan lalu, di mana IDF menguasai kira-kira 70 peratus wilayah Gaza.

Ini bermakna, Israel masih mengekalkan kehadiran tenteranya di Rafah, Khan Younis dan kawasan utara Gaza, selain zon penampan di beberapa kawasan lain.

Trump berkata, beliau tidak memberi Netanyahu pilihan selain menyokong pelan damai berkenaan.

“Saya kata, Bibi, ini peluang kamu untuk menang dan beliau setuju. Beliau tiada pilihan, dengan saya, kamu mesti bersetuju.

“Bibi sudah melangkaui batas di Gaza dan Israel kehilangan banyak sokongan di peringkat antarabangsa. Sekarang saya akan dapatkan semula semua sokongan itu,” kata Trump menurut laporan yang dikongsi akaun Rapid Response 47 Rumah Putih di platform X, ketika Netanyahu membentangkan pelan tersebut kepada rakyat Israel.

Netanyahu sebaliknya pula menggambarkan pelan diutarakan Trump merupakan hasil kerjasama beliau sebagai langkah diplomatik yang mengubah keadaan sepenuhnya, sambil menegaskan kini bukan Israel yang terasing, tetapi Hamas.

Menurut laporan Axios, Trump turut memuji Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdogan kerana memainkan peranan penting meyakinkan Hamas menyertai pelan berkenaan.

RUNDINGAN DI KAHERAH

Kementerian Luar Mesir mengumumkan delegasi Israel dan Hamas tiba di Kaherah pada Isnin bagi membincangkan mekanisme pembebasan semua tebusan Gaza sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin, termasuk mereka yang disabitkan kesalahan serangan berdarah, di bawah pelan Trump.

Pasukan perunding Israel diketuai Menteri Hal Ehwal Strategik, Ron Dermer, bersama pegawai perisikan tertinggi dari Mossad, Shin Bet, dan IDF.

Dua penasihat kanan Trump, Jared Kushner dan Steve Witkoff turut menyertai rundingan di Kaherah.

Menurut laporan, fasa awal rundingan akan menentukan mekanisme pembebasan tebusan, dengan tempoh 72 jam diperuntukkan bagi pembebasan semua yang masih hidup sebaik mekanisme itu dimuktamadkan sementara pemulangan mayat tebusan dijangka mengambil masa lebih lama.

Sumber Arab memberitahu Wall Street Journal, Hamas masih berbelah bahagi mengenai isu perlucutan senjata yang dituntut dalam pelan Trump.

Ketua perunding Hamas, Khalil al-Hayya bersama beberapa pemimpin politik lain yang berpangkalan di luar Gaza bersedia menerima cadangan tersebut walaupun dengan beberapa kebimbangan besar.

Ketua Hamas di Gaza, Izz al-Din Haddad pula dilaporkan hanya bersedia menyerahkan senjata serangan seperti roket, tetapi mahu mengekalkan senjata pertahanan seperti raifal.

Komander pejuang lain pula dilaporkan kurang bersedia untuk berkompromi, kerana berpendapat sukar untuk memaksa para pejuang muda yang direkrut sepanjang perang itu melucutkan senjata kerana mereka dipercayai tidak akan sanggup menyerahkannya selepas kehilangan keluarga dan harta benda akibat konflik tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×