ALOR SETAR: Kerajaan digesa melibatkan semua penyedia perkhidmatan e-hailing berdaftar dalam perbincangan dasar serta pelaksanaan subsidi Inisiatif Bantuan Madani RON95 (BUDI95) dan bukan hanya menumpukan kepada satu syarikat dominan.
Pengerusi Persatuan Pemandu eHailing Utara (NeHDA), Zabidi Bahador, berkata walaupun pihaknya menyambut baik keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pemandu, penekanan kepada Grab sebagai satu-satunya rakan strategik utama dalam pertemuan rasmi kerajaan dilihat tidak wajar.
Menurutnya, Grab ialah syarikat multinasional berpangkalan di luar negara yang membawa keluar aliran wang dari Malaysia, sedangkan aplikasi tempatan seperti MyCar, GVride dan MyRide juga wajar diberi keutamaan serta insentif khas bagi menggalakkan pertumbuhan industri tempatan.
“Syarikat tempatan menyumbang kepada ekonomi domestik, menyediakan peluang pekerjaan dan lebih mudah diselaraskan dengan dasar negara,” katanya dalam kenyataan akhbar sini sini hari ini.
Ia susulan pengumuman kerajaan mengenai pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 di bawah BUDI95 yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 September 2025.
Dalam pengumuman itu, kerajaan menyatakan bahawa Grab akan menjadi rakan strategik utama bagi penyaluran bantuan kepada pemandu e-hailing, yang kemudian menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengusaha dan pemandu platform tempatan lain kerana dianggap tidak adil serta tidak inklusif.
Beliau turut mencadangkan kerajaan memperkenalkan insentif khas dan geran pembangunan kepada pengusaha e-hailing tempatan serta memastikan subsidi BUDI95 disalurkan secara automatik kepada semua pemandu berstatus Permit Kenderaan E-Hailing (EVP) yang sah, tanpa mengira platform digunakan.
Zabidi menambah, NeHDA bersedia menjadi rakan strategik kerajaan bagi membangunkan industri e-hailing yang adil, inklusif dan berteraskan kepentingan nasional. – UTUSAN










