PETALING JAYA: Semua 23 rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan rejim Zionis Khamis lalu dibebaskan dan kini berada dibawa ke Istanbul, Türkiye.
Mengesahkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembebasan itu berlaku selepas kesemua mereka yang ditahan menandatangani arahan pengusiran dari Israel.
“Alhamdulillah, 23 rakyat Malaysia itu sekarang menuju ke Lapangan Terbang Ramon di selatan Israel dan dengan pesawat khas dari Turkiye membawa mereka ke Istanbul.
“Rundingan saya dengan pihak Ketua Risikan Malaysia yang berada di Ankara sekarang untuk menyelaraskan bersama dengan Duta Besar dan Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, lebih baik mereka itu menginap di Istanbul sekitar satu ke satu setengah hari.
“Ia membolehkan mereka lalui pemeriksaan kesihatan akibat trauma dan tekanan rejim zalim Israel yang telah bertindak agak keras terhadap mereka,” katanya pada Sidang Media Khas Pembebasan Aktivis Global Sumud Nusantara, di sini, semalam.
Beliau berkata, sebaik sahaja kesemua mereka tiba di Istanbul, kerajaan akan mengatur perjalanan pulang ke tanah air secepat mungkin.
“Saya setuju, mereka akan berlepas pulang (ke tanah air) esok malam atau pun lusa. Itu kita sedang atur, tetapi sekarang ini kita dapat berita yang amat menyenangkan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, apabila bercakap soal keselamatan peserta Sumud Flotilla, ia tidak terbatas kepada rakyat Malaysia dan Turkiye sahaja sebaliknya membabitkan semua termasuk Eropah, Indonesia dan lain-lain.
Katanya, walaupun tahu bukan mudah untuk menjejakkan kaki ke Gaza, mereka memberi sumbangan besar apabila menyedarkan ratusan juta rakyat di dunia bahawa rejim Israel tidak hanya menentang kelompok yang dilabel ganas tetapi juga melarang keras apa juga bantuan kemanusiaan.
“Ini hanya berlaku kalau negara itu mempunyai falsafah yang sangat kejam tidak bertamadun. Negara bertamadun sekurang-kurangnya akan memberi laluan kepada bantuan kemanusiaan.
“Ini pengajaran yang tersebar ke seluruh dunia,” katanya.
Khamis lalu, tentera Israel menahan semua lebih 400 aktivis GSF termasuk 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan itu selepas kapal mereka dipintas kurang 100 batu nautika dari Gaza.
Kesemua mereka kemudiannya dibawa ke Pelabuhan Ashdod untuk menjalani proses dokumentasi sebelum dipindahkan ke Penjara Ktzi’ot di Naqab.
Perdana Menteri berkata, pada mulanya terdapat tiga rakyat Malaysia yang agak keberatan untuk menandatangani arahan pengusiran keluar dari Israel.
“Semalam, tiga anak-anak Malaysia agak keberatan untuk menandatangani arahan pengusiran dari Israel, tetapi pendapat kita adalah untuk mereka bersetuju.
“Kita juga telah berbincang dengan Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby untuk mengajak semua pulang dan kita susun strategi berikutnya,” katanya.
Pembebasan semua rakyat Malaysia itu adalah hasil diplomasi Kerajaan Malaysia dengan pelbagai pihak termasuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman Al-Thani, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio dan banyak lagi. – UTUSAN










