SEREMBAN: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kini membangunkan inovasi kecerdasan buatan (AI) berbentuk konsultasi perundangan yang boleh digunakan orang ramai secara percuma.
Naib Canselor USIM, Datuk Prof. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, inovasi itu dikenali sebagai ILA Chatbox, sebuah platform ala ChatGPT yang berkonsepkan Klinik Guaman Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM.
“Platform ini menawarkan khidmat masyarakat dalam bentuk konsultasi perundangan secara dalam talian dan percuma.
“Ia merangkumi isu-isu perundangan sivil dan syariah termasuklah hal ehwal pusaka, sekali gus memperluas akses masyarakat kepada ilmu perundangan yang berautoriti,” katanya Ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2025 di Dewan Tuanku Canselor USIM, di Nilai di sini semalam.
Majlis dirasmikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Sementara itu, katanya, USIM juga melancarkan Kerangka AI Syariah iaitu sebuah ekosistem kecerdasan buatan berintegriti yang dibangunkan berpandukan disiplin ilmu Islam serta Maqasid Syariah.
Dr. Sharifudin berkata, kerangka ini digarap di bawah pengawasan pakar-pakar bidang berwibawa dengan iltizam antaranya terhadap prinsip kedaulatan data, ketelusan, kebolehjelasan, kawalan kemudaratan serta keterikatan kepada rujukan muktabar yang didahului dengan al-Quran dan al-Sunnah.
“Kerangka ini turut menegaskan bahawa kecerdasan buatan berperanan sebagai alat sokongan, bukan sebagai pengganti kepada pakar rujuk atau pihak berautoriti agama.
” Ini bermakna penggunaannya haruslah melengkapi, bukan menggantikan, panduan dan keputusan dibuat oleh mereka yang berkelayakan,” katanya.-UTUSAN.










