Kompleks Limbungan Kapal Hibrid ubah Tanjung Agas

Kompleks Limbungan Kapal Hibrid ubah Tanjung Agas

MOHAMAD Nizar Mohamad Najib (kanan) berbual dengan penerima Inisiatif Makmur Pahang Kluster Siswa di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan, Pahang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Projek pembinaan Kompleks Limbungan Kapal Hibrid yang akan dibangunkan kerajaan negeri di Tanjung Agas, di sini menjadi pemangkin transformasi kawasan berkenaan selepas ia beroperasi kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Pe­laburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Seri Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, projek mega berkenaan dijangka bermula April depan dengan kerja-kerja persiapan tapak kini sedang dijalankan oleh pemaju, Teroka Majubina Holding Berhad.

“Saya berharap projek ini dapat direalisasikan segera ke­rana Tanjung Agas sudah lama tidak menunjukkan perkembangan besar. Kehadiran industri perkapalan ini bakal mewujudkan banyak peluang pekerjaan serta menghidupkan kembali ekonomi setempat,” katanya pada Majlis Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang Kluster Siswa untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, berkata, kompleks tersebut dijangka menyediakan lebih 25,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung melalui pembangunan rantaian bekalan, perniagaan sokongan, perumahan, pasar raya, hotel serta kemudahan lain.

“Apabila industri besar bertapak, kawasan sekitarnya turut berkembang. Contohnya di Pengerang, Johor, apabila pelaburan besar dimulakan, kawasan nelayan yang dahulu sunyi kini muncul sebagai pusat ekonomi. Kita percaya Tanjung Agas juga mampu melalui transformasi seumpama itu,” ujarnya.

Ditanya mengenai perkembangan pembangunan infrastruktur sokongan di kawasan berkenaan, beliau menjelaskan ia dibangunkan seiringan dengan pembangunan projek terbabit.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×