KUALA NERUS: Di sebalik keindahan seni batik yang menjadi kebanggaan budaya negara, kerjaya sebagai pengecop batik tradisional semakin terpinggir apabila generasi muda kurang berminat meneruskan legasi tersebut.
Mohd. Fuad Musa, 58, yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pengecopan batik, kini menjadi satu-satunya pekerja di sebuah bengkel batik tradisional di Seberang Takir, di sini.
Katanya, tiada golongan muda yang tampil untuk belajar dan menguasai kemahiran mengecop batik walaupun ia adalah antara proses terpenting dalam penghasilan batik bermutu tinggi.
“Dulu ketika muda saya kerja offshore tetapi bila cuti, saya buat cop batik secara separuh masa. Selepas bersara, saya sambung kerja di sini. Tetapi sekarang, saya seorang sahaja buat kerja mengecop kain. Tiada orang muda hendak belajar pun,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, mengecop batik bukan kerja mudah kerana memerlukan fokus dan kesabaran.
“Ia memerlukan ketelitian tinggi bermula daripada proses melilin kain, mengecop tiga peringkat sebelum melalui empat kali proses pewarnaan yang semuanya memerlukan pengalaman serta daya fokus kuat,” katanya.
Mohd. Fuad berada di bengkel seawal pukul 8 pagi hingga 3 petang dan mampu mengecop sehingga 60 helai kain sehari, atau sekitar 40 helai jika melibatkan kain kosong.
Bengkel tempatnya bekerja kini diambil alih oleh generasi kedua kepada bekas majikannya.
“Ramai tidak tahu, kerja ni memerlukan banyak kesabaran dan kemahiran. Kalau silap cop atau warna lari, rosak satu kain,” katanya.
Menurutnya, tanpa minat dan kesedaran dalam kalangan anak muda, seni mengecop batik yang menjadi sebahagian warisan budaya Malaysia berisiko hilang ditelan zaman.-UTUSAN.











