‘Calon PM bukan sekadar mahir ekonomi tetapi perlu adil, bertakwa’

‘Calon PM bukan sekadar mahir ekonomi tetapi perlu adil, bertakwa’

MUIHAMMAD FAWWAZ MOHAMAD JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH: Calon Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) sama ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Pas tidak semestinya seorang yang mahir dalam ilmu ekonomi semata-mata.

Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berpandangan, hal demikian kerana kebiasaannya, seseorang Perdana Menteri itu akan mempunyai penasihat dalam pelbagai bidang terma­suk berkaitan ekonomi itu sendiri.

“Jadi, kalau tanya saya, saya mahu seorang Perdana Menteri yang pertama sekali, biar dia adil. Adil kepada semua rakyat.

“Yang kedua, biarlah dia seorang Perdana Menteri yang mentaati perintah Tuhan. Ka­lau dia tidak taat perintah Tuhan, buat apa? Tuhan kata perkara ini haram, dia langgar, dia buat.

“Sebab itulah kalau kita te­ngok dalam muktamar Pas baru-baru ini, Tok Guru (Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang) dan Mursyidul Am (Datuk Hashim Jasin) tekankan, kalau hendak cari Perdana Menteri, cari yang bertakwa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Muhammad Fawwaz yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, Perdana Menteri yang benar-benar bertakwa dapat membuat keputusan yang baik untuk rakyat dengan bantuan penasihat-penasihatnya.

“Lagi satu, saya juga setuju kalau pemimpin utama negara selepas ini berusia bawah 70 tahun. Kalau kita tengok sejarah empat khalifah dalam Islam pun, Saidina Abu Bakar jadi khalifah masa umurnya 61 tahun.

“Saidina Umar pula jadi kha­lifah masa umur 53, (Saidina) Uthman, 70 dan (Saidina) Ali, 59 tahun. Maknanya, umur-umur ini iaitu antara 55 hingga 70 tahun itu sudah ‘cantik’.

“Orang sudah lebih separuh abad ini lebih matang, penge­tahuan pun luas. Kalau muda sangat, kita takut pengalaman tidak ada. Kalau lebih daripada 70 pula, mungkin sudah tidak kuat,” ujar beliau.

Hashim sebelum ini pernah mengesyorkan bahawa calon dari Pas yang layak diketengahkan sebagai Perdana Menteri mestilah memiliki ciri-ciri pe­mimpin seperti Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ketika ini, nama pemimpin Pas yang disebut-sebut sebagai bakal Perdana Menteri andai PN berjaya menguasai kerajaan selepas ini ialah Timbalan Pre­siden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sementara itu, calon Perdana Menteri bagi Bersatu setakat ini ialah Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun nama Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin secara tiba-tiba turut menjadi bualan gara-gara isu penularan rakaman audio daripada Pas yang menyokong pemimpin terbabit.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu sidang akhbar bagaimanapun menafikan perkara ber­ke­naan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×