PETALING JAYA: Malakoff Corporation Berhad akan membangunkan sebuah loji janakuasa solar fotovoltaik berkapasiti 100 megawatt (MW) di Bintulu, Sarawak selepas anak syarikatnya, Malakoff Evergreen Sdn. Bhd. (MEVSB), memeterai Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 30 tahun dengan Syarikat SESCO Berhad (SESCO).
Setelah siap, loji itu akan memperkukuh bekalan tenaga boleh diperbaharui di Sarawak serta menyokong aspirasi Malaysia yang lebih luas untuk mempercepatkan peralihan tenaga dan memastikan keselamatan tenaga jangka panjang.
Loji tersebut dijadualkan memulakan operasi pada 1 Mei 2028 dan sepanjang tempoh 30 tahun PPA tersebut, tenaga bersih yang dihasilkan akan disalurkan kepada SESCO, sekali gus memastikan sumbangan tenaga boleh diperbaharui (RE) yang berterusan kepada grid.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Syahrunizam Samsudin berkata, pemeteraian itu menandakan satu lagi langkah penting dalam perjalanan RE Malakoff.
“Tahun 2025 sudah pun menjadi tahun yang bermakna buat kami. Dengan kejayaan meraih projek solar 470 MW LSS5+ baru-baru ini dan perancangan loji 100 MW di Bintulu, kapasiti RE kami kini mencecah 768 MW.
“Perluasan ini merupakan lonjakan besar dalam portfolio kami dan sumbangan nyata terhadap peralihan tenaga bersih negara – bersamaan dengan pengelakan sebanyak 11.1 juta tan metrik karbon dioksida (tCO2e) setahun atau setara dengan penyerapan karbon oleh 18.3 juta pokok matang.
“Selain daripada menambah kapasiti, ia juga mencerminkan penyelarasan kami dengan matlamat peralihan tenaga negara untuk jangka panjang serta memperkukuh keselamatan tenaga masa depan,” katanya dalam kenyataan.
Pada tahun ini juga, Malakoff dinobatkan sebagai Pengeluar Tenaga Bebas Tahunan di Enlit Asia 2025 untuk tahun ketiga berturut-turut dan menerima Anugerah Merit di Anugerah Tenaga Kebangsaan 2025 bagi Projek Pembakaran Bersama Biojisim.
Pengiktirafan itu mencerminkan kepimpinan dan inovasi berterusan Malakoff dalam sektor tenaga.
Bersempena ulang tahun ke-50, Malakoff kekal teguh dengan hasratnya iaitu ‘Enhancing Life, Enriching Communities’ dan komited membina masa depan tenaga yang lebih bersih dan berdaya tahan untuk Malaysia. – UTUSAN









