MERENTASI Lingkaran Artik dari Lapland ke Taman Negara Abisko di utara Sweden menjadi antara pengalaman terindah dalam hidupnya.
Itulah kali pertama Nurul Syazana Hanapi, 38, menyertai ekspedisi trekking di Eropah.
Perjalanan sejauh 110 kilometer pada 11 hingga 16 Ogos 2023 itu turut menuntutnya ‘tinggal’ di tengah hutan selama enam hari penuh cabaran.
Lebih-lebih lagi dengan keadaan cuaca yang sukar diduga, meskipun ketika itu musim panas.
Ada masanya angin dingin bertiup kemudian matahari menyinar seketika sebelum hujan mencurah-curah.
“Ia benar-benar menguji fizikal dan mental saya sebagai pendaki dari Asia.
“Apatah lagi dengan fenomena siang malam yang berbeza di sini, apabila matahari terbit seawal pukul 2 pagi dan hanya tenggelam sekitar 10 malam.
“Paling mencabar apabila perlu melintasi batu-batu besar di bawah terik matahari, rasa mahu menangis untuk menghabiskan trek tersebut,” katanya kepada Seri.
Ekspedisi Nurul Syazana ke negara itu ditemani ibu saudaranya, Sabrina Yahaya, 54.
Kedua-duanya menyertai acara trekking tahunan antarabangsa, Fjallraven Classic anjuran jenama sukan outdoor popular, Fjallraven.
Acara yang diperkenalkan sejak 2005 itu turut dianjurkan di enam negara lain iaitu Denmark, Jerman, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Chile dan Korea Selatan.
Di sebalik segala cabaran itu, dia menikmati keseronokan yang sukar digambarkan di sepanjang perjalanan.
“Penat lelah hilang sekelip mata apabila tengok panorama indah tasik yang berwarna hijau, gunung glasier dan sungai.
“Lebih menarik, peserta bebas berkhemah di mana sahaja dalam kawasan Taman Negara Abisko ini asalkan rasa selamat,” katanya.
Utamakan keselamatan
Aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaannya sepanjang trekking di luar negara.
Justeru, Nurul Syazana hanya memilih Fjallraven Classic kerana yakin dengan pengurusan penganjur yang profesional dan sistem keselamatan teratur.
Sebelum ke Sweden, dia dan ibu saudara turut serta dalam acara sama di Pulau Jeju, Korea Selatan sejauh 56 kilometer pada 2022.
Katanya, semasa acara itu, peserta diberikan pas dan tag keselamatan, malah setiap laluan mempunyai checkpoint.
“Selain itu, tapak perkhemahan disediakan di kawasan yang ditetapkan sekali gus, memberi kami keyakinan untuk memulakan trekking di Eropah,” katanya.
Sejak itu, setiap tahun mereka menyertai acara itu termasuk di Denmark (2024) diikuti di Lake District, UK dan terbaharu di Oberstaufen, Jerman.
Akhir tahun ini, mereka berdua merancang ke Chile pula untuk acara sama manakala tahun depan ke AS, sekali gus melengkapkan tujuh acara Fjallraven Classic.
Peralatan wajib
Nurul Syazana tidak menafikan yang laluan trek di Eropah nampak lebih mudah berbanding di Malaysia.
Bahkan, di setiap checkpoint turut disediakan gerai jualan air, makanan panas atau kek.
“Cabaran besar tentunya daripada segi cuaca, sebab itulah kena bawa barangan yang sesuai terutama kasut dan stokin.
“Peralatan lain yang wajib ada ialah beg tidur, jaket atau windbreaker dan pakaian mendaki,” katanya.
Bagaimanapun, anak jati Shah Alam ini bersyukur kerana tidak pernah berdepan kemalangan atau kecederaan sepanjang terlibat dalam hobi itu.
“Semangat jadi kuat bila memikirkan kos ribuan ringgit yang dilaburkan dan persediaan dilakukan,” katanya yang juga peniaga kek kecil-kecilan.
Takluk gunung Malaysia, Everest
Sebelum terlibat dalam ekspedisi trekking, pemegang Ijazah Sarjana Muda Media & Komunikasi (Pengiklanan) ini aktif mendaki gunung.
Antara pencapaian terbesarnya ialah menawan Everest Base Camp di Kathmandu, Nepal pada 2018.
Diikuti Gunung Semeru (Indonesia), Gunung Hallasan (Korea Selatan) dan Gunung Kinabalu.
Manakala, gunung-gunung tempatan lain yang pernah dijejaki ialah Tahan, Korga, Gayung, Yong Yap, Yong Belar, Trans V2, GBB (Gerah, Bieh & Bilah), Trans Jerging, Trans Batu, Trans Jelawang, Trans Titiwangsa
Selatan, Trans Slim, Gunung Nuang, Semangkuk, Lebah, Lebah Timur dan Rajah.
Melihat gaya hidupnya, pasti ramai menyangka dia penggemar aktiviti lasak sejak remaja.
Hakikatnya, hobi mendaki hanya bermula pada 2014, kira-kira 11 tahun lalu.
“Saya langsung tidak minat aktiviti lasak sampaikan sanggup ponteng apa-apa acara sukan di sekolah.
“Idea untuk mendaki timbul secara tiba-tiba apabila saya, kakak, sepupu dan ibu saudara duduk di meja makan pada petang raya 2014.
“Akhirnya, kami enam orang sepakat menawan Gunung Kinabalu pada April tahun berikutnya dan sejak itu bermulalah hobi saya dalam aktiviti lasak,” katanya.
Didik disiplin
Hobi mendaki mendidik Nurul Syazana menjadi individu yang lebih berdisiplin dan bersabar dalam hidup.
Katanya, setiap langkah serta tindakan memerlukan perancangan rapi dan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.
“Paling penting, kena jaga stamina dan berlatih secara konsisten.
“Selain itu, kerjasama berkumpulan dan sifat empati tinggi juga perlu diberi perhatian jika mahu kekal lama dengan hobi ini,” katanya.
Dalam masa sama, aktiviti mendaki seolah-olah menjadi ‘butang tetapan semula’ bagi dirinya.
Ia merupakan medium terbaik memulihkan diri, menghilangkan tekanan dan seimbangkan kehidupan secara menyeluruh.
“Selama ini, tidak pernah terfikir pun untuk jadi pendaki tetapi kini saya dapat buktikan yang saya mampu lakukan.
“Saya amat berpuas hati apabila dapat mencabar diri, mengatasi rasa letih dan putus asa sehingga tiba ke garisan penamat,” katanya.-UTUSAN










