ROM: Kesatuan sekerja Itali melancarkan mogok umum sebagai tanda solidariti kepada flotila bantuan ke Gaza yang dipintas Israel, mencetus gangguan perkhidmatan kereta api pada hari kedua demonstrasi di Rom.
Mogok yang dianjurkan oleh kesatuan sekerja USB dan CGIL itu menyusuli tunjuk perasaan pada Khamis di beberapa bandar seluruh dunia, termasuk di Milan dan Rom, di mana kira-kira 10,000 orang berarak dari Colosseum.
Penunjuk perasaan mula berkumpul semula pada pagi Jumaat di Rom untuk berarak ke dataran besar di luar stesen kereta api utama Termini, di mana perkhidmatan dibatalkan atau ditangguhkan sehingga 80 minit.
“Dataran-dataran akan penuh sesak. Ia menunjukkan nilai kemanusiaan dan tekad orang baik yang mahu menghentikan pembunuhan beramai-ramai, sedangkan kerajaan dan negara pura-pura tidak melihat atau malah bersekongkol,” kata Ketua Kesatuan CGIL, Maurizio Landini kepada Radio Anch’io pada Jumaat.
Di Milan dan bandar lain, penumpang turut mengalami kelewatan dan pembatalan serupa, dengan syarikat kereta api negara Trenitalia memberi amaran mogok kebangsaan akan berlarutan hingga 8:59 malam (waktu tempatan).
“Hari ini, sejuta rakyat Itali akan terkandas dalam perjalanan kereta api,” kata Timbalan Perdana Menteri, Matteo Salvini dalam rancangan televisyen Mattino Cinque.
Media tempatan melaporkan trafik komersial turut disekat di pelabuhan Livorno.
Mogok itu bermula ketika kementerian luar Itali mengumumkan empat ahli Parlimen Itali dibebaskan oleh Israel selepas ditahan ketika menyertai pelayaran Global Sumud Flotila (GSF) yang bertujuan memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza.
Dua ahli Parlimen Itali dan dua ahli Parlimen Eropah dari Itali itu dijangka tiba semula di Rom pada Jumaat, kata kementerian itu.
Flotila berkenaan pada Jumaat berkata, tentera laut Israel memintas 42 kapal minggu ini, manakala pegawai menyatakan lebih 400 aktivis sudah ditahan.
Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni mengecam mogok kebangsaan itu ketika berada di mesyuarat Kesatuan Eropah (EU) di Copenhagen pada Khamis.
“Saya menjangkakan sekurang-kurangnya dalam isu yang mereka anggap begitu penting, kesatuan tidak akan mengadakan mogok umum pada Jumaat, kerana hujung minggu panjang dan revolusi tidak boleh disatukan,” kata Meloni.
Ketua kerajaan berhaluan kanan itu sebelum ini menyifatkan flotila berkenaan sebagai satu inisiatif yang berbahaya dan tidak bertanggungjawab, walaupun Itali menghantar sebuah frigat tentera laut untuk memberi bantuan.
Keengganan Meloni untuk secara terbuka mengkritik Israel dan mengelak berbeza pendirian dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menimbulkan penentangan yang semakin hebat di Itali, sekali gus mencetuskan gelombang protes beberapa minggu kebelakangan ini.
Badan pemantau mogok Itali sudah pun mengisytiharkan tindakan Jumaat sebagai tidak sah kerana kesatuan tidak memberikan notis 10 hari seperti yang diperlukan.-AFP










