Cara mudah jinakkan ular sawa

Cara mudah jinakkan ular sawa

bersama ular sawa batik kesayangan sepanjang 10 kaki.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi sesetengah orang, reptilia ini mungkin nampak sangat menggerunkan, malah mungkin cabut lari jika terserempak.

Tetapi tidak bagi Mohd. Hamizan Nawai, 48, yang menjadikan ular sawa batik sepanjang 10 kaki ini sebagai haiwan kesayangannya.

Pada awalnya, dia bertemu dengan si batik itu ketika menyertai misi penyelamatan apabila reptilia itu masuk ke rumah jirannya, awal tahun lalu.

Tanpa disangka, si batik berwarna kuning dengan corak unik itu berjaya memikat hatinya, lalu diambil sebagai haiwan peliharaan sementelah dia juga sudah memelihara beberapa ekor ular sebelum ini.

Sama seperti tujuh ular lain yang dipelihara, dia tidak memberikan nama khas, namun mampu mengenal setiap ekor melalui corak dan warna yang berbeza pada badan reptilia tersebut.

Katanya, ramai menyangka ular sawa dewasa yang ditangkapnya itu sukar dijinakkan.

Bagaimana pun, berbekalkan pengalaman 20 tahun memelihara ular sawa sebelum ini, Mohd. Hamizan tidak mengambil masa lama untuk ‘menundukkan’ si batik.

“Sama seperti aktiviti harian ular-ular yang lain, saya juga akan membenarkan ular sawa istimewa ini bermain satu atau dua kali dalam sehari.

“Bagi memastikan ular sentiasa dalam keadaan selesa, cara memegang dan belaian haruslah lembut. Ular akan takut sekiranya ada yang mengetuknya walaupun berniat untuk bergurau,” katanya kepada Seri.

Tambahnya, si batik akan mula mengenali bau sama ada tuannya atau keluarga yang tinggal serumah jika selalu bermain bersama.

Maka, tidak hairanlah ular sawa itu juga jinak bersama isteri dan anak-anaknya kerana mereka sekeluarga turut meminati reptilia eksotik itu.

Anak-anaknya gemar bermain ular dan tidak keterlaluan jika dikatakan si batik membawa keceriaan kepada mereka sekeluarga.

PENJAGAAN TELITI

Mohd. Hamizan tidak akan melepaskan semua ular peliharaannya secara serentak ketika sesi bermain kerana bimbang keadaan menjadi kelam-kabut dan sukar dikawal.

Meskipun ular sawanya kini kelihatan jinak, Mohd. Hamizan tetap berhati-hati setiap kali melepaskannya untuk bermain.

“Kebiasaannya, haiwan sejuk ini akan bertindak agresif sekiranya dipaksa untuk bermain. Selalunya ia akan bertindak demikian ketika menanti waktu untuk diberi makan,” katanya.

Malah, jika diganggu ketika proses penghadaman, ular tersebut akan bertindak ganas, tidak kira sama ada kepada tuan atau ahli keluarga lain,” katanya.

KOS MURAH

Menurutnya, kos memelihara ular tidak memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

Setiap bulan, dia akan menghabiskan sekitar RM300 sahaja.
Ular diberi makan tiga ekor ayam sekali dalam tempoh satu atau dua minggu.

“Ular tidak mudah jatuh sakit, malah jika sakit pun akan sembuh secara semula jadi tanpa sebarang ubatan,” katanya.

Berdasarkan pengalamannya sebelum ini, ular hanya akan mengalami masalah penghadaman sekali-sekala dan perlu ‘puasa’ buat sementara waktu.

Selain itu, dia akan menjemur ular di dalam sangkar di bawah cahaya matahari pagi selama dua jam, setiap dua kali seminggu untuk memastikan suhu badan reptilia sejuk itu dalam keadaan seimbang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×