SETIAP rumah tangga yang telah dibina perlu dihormati dan dilindungi daripada dirosakkan oleh orang luar atau lebih dikenali sebagai pihak ketiga. Sesiapa sahaja boleh menjadi pihak ketiga ini termasuklah ahli keluarga sendiri, kekasih atau bekas kekasih, rakan, jiran dan sebagainya.
Perkara ini jelas dinyatakan dalam peruntukan undang–undang syariah dalam negara kita. Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah–Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) misalnya ada menyatakan di bawah Seksyen 36 berkaitan dengan perkara “Memujuk lari perempuan bersuami” boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua–duanya, dan mahkamah boleh memerintahkan perempuan tersebut supaya kembali kepada suaminya”.
Seksyen 37 Akta 559 berkaitan dengan perkara “Menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri” boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan mahkamah hendaklah memerintahkan pasangan itu supaya hidup sebagai pasangan suami isteri yang sudah bernikah dengan sah”.
Seksyen 38 Akta 559 berkaitan dengan perkara “Menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan” boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua–duanya”.
Penting untuk memastikan supaya rumah tangga yang dibina dijaga dan dilindungi dengan baik.
Orang luar pula perlu memainkan peranan mereka dengan tidak mengganggu kehidupan rumah tangga orang lain. Dalam sesebuah rumah tangga Islam, suami memainkan peranan penting kerana mereka adalah ketua rumah tangga. Suami harus memastikan rumah tangga yang dibina tidak dirosakkan atau musnah.-UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Profesor Madya,
Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










