YAYASAN Waqaf Malaysia (YWM) dengan kerjasama Pejabat Orang Besar Jajahan Hilir Perak dan Kumpulan Imarah Masjid Melayu Teluk Intan baru-baru ini menganjurkan Program Santuni Komuniti Madani.
Teluk Intan menjadi lokasi program memandangkan YWM kini dalam peringkat awal mengenal pasti serta menjalankan kajian bagi pewujudan produk wakaf baharu yang berteraskan warisan negara. Teluk Intan mempunyai banyak tapak peninggalan bersejarah yang menjadi khazanah warisan. Justeru, program ini merupakan usaha menghubungkan elemen warisan dengan kebajikan, supaya wakaf dapat dipromosikan kepada masyarakat setempat secara inklusif dan berimpak tinggi.
Menerusi program ini, pelbagai bentuk bantuan untuk sekolah, surau, masjid dan barangan asas bagi golongan yang memerlukan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM107,940.00 diagihkan. Selain itu, rakan strategik YWM iaitu Bank Rakyat juga turut berbesar hati menyediakan peruntukan sebanyak RM30,000 bagi tujuan pemasangan solar di Masjid Melayu Teluk Intan.
YWM dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut menyampaikan biasiswa Al-Falah di bawah produk myWaqafPTPTPN kepada dua orang mahasiswa dengan jumlah tajaan sebanyak RM26,363.59. Turut dilancarkan sebuah aplikasi pintar iaitu MasjidNet Superapps yang dibangunkan kumpulan penyelidik dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat serta Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Program ini bukan sekadar menyampaikan sumbangan, malah menjadi jambatan ukhuwah antara YWM dengan masyarakat, di samping memperkukuh kefahaman tentang wakaf sebagai pemacu pembangunan komuniti dan khazanah warisan negara. Seiring dengan prinsip Wakaf Membangun Malaysia Madani, YWM komited untuk mendekatkan manfaat wakaf kepada rakyat.-UTUSAN
YAYASAN WAQAF MALAYSIA










