WASHINGTON: Ahli primatologi terkemuka Britain, Dr. Jane Goodall, yang terkenal dengan kajian revolusioner terhadap cimpanzi serta dedikasinya sebagai aktivis alam sekitar dunia, meninggal dunia pada usia 91 tahun.
Institut Jane Goodall dalam kenyataannya memaklumkan, beliau menghembuskan nafas terakhir dalam tidur ketika berada di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), semasa siri jelajah ceramahnya di negara itu.
“Penemuan Dr. Goodall sebagai ahli etologi telah merevolusikan bidang sains. Beliau juga tidak pernah jemu memperjuangkan perlindungan dan pemulihan alam semula jadi,” jelas kenyataan itu.
Dilahirkan di London pada 3 April 1934 dan dibesarkan di Bournemouth, minat Goodall terhadap haiwan bermula sejak kecil.
Pada 1957, beliau berangkat ke Kenya sebelum mula bekerja dengan ahli paleoantropologi terkenal, Louis Leakey, yang menghantarnya membuat kajian ke Gombe, Tanzania.
Goodall mencipta sejarah apabila mendapati cimpanzi menggunakan ranting kayu sebagai alat, satu penemuan yang mengubah persepsi saintifik ketika itu di mana manusia sahaja makhluk pengguna alat.
Beliau turut menamakan cimpanzi yang dikajinya, satu pendekatan baharu berbanding norma saintifik yang hanya menggunakan nombor.
Kajian beliau turut membongkar sisi ganas haiwan itu, termasuk perebutan wilayah dan infantisid, sekali gus mencabar pandangan cimpanzi lebih jinak daripada manusia.
Selepas beberapa dekad di hutan Afrika, Goodall mengalihkan tumpuannya kepada isu pemeliharaan habitat dan perubahan iklim, dengan lantang menyeru tindakan segera di peringkat global.
Pada 1977, beliau menubuhkan Jane Goodall Institute yang kekal aktif dalam pemuliharaan cimpanzi.
Kemudian pada 1991, beliau melancarkan program Roots & Shoots, satu gerakan belia antarabangsa yang kini wujud di lebih 60 negara dan pernah menerima pelbagai penghormatan, antaranya gelaran Dame Commander daripada kerajaan Britain serta Pingat Kebebasan daripada Presiden Joe Biden.
Berita pemergian Goodall mendapat perhatian seluruh dunia di mana Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyifatkan beliau sebagai utusan keamanan yang meninggalkan legasi luar biasa untuk manusia dan planet ini.
Goodall berkahwin dua kali, pertama dengan jurugambar hidupan liar Belanda, Baron Hugo van Lawick, yang dikurniakan seorang anak lelaki, Hugo Eric Louis van Lawick.
Perkahwinan itu berakhir dengan perceraian sebelum beliau mendirikan rumah tangga dengan ahli Parlimen Tanzania, Derek Bryceson, yang kemudian meninggal dunia akibat kanser.











