Bot asing bawa biji timah seludup bernilai RM3.7 juta ditahan

Bot asing bawa biji timah seludup bernilai RM3.7 juta ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Sebuah bot kargo dengan muatan disyaki bijih timah bernilai RM3.7 juta berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili di perairan Johor timur awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohammad Othman berkata, hasil maklumat risikan sebuah bot kargo daripada Indonesia ditahan bot ronda Maritim Malaysia di kedudukan 1.5 batu nautika timur laut Tanjung Punggai pada pukul 4.45 pagi.

Katanya, pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan empat kru termasuk seorang tekong kesemuanya warga Indonesia berusia 26 hingga 55 tahun, membawa 530 guni disyaki bijih timah seberat hampir 26,500 kilogram.

Menurutnya nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM4.5 juta termasuk bot dan peralatan.

“Bot serta bahan muatan telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan di bawah Akta Kastam 1967 kerana cubaan mengimport atau mengeksport barang tidak berkastam, selain Akta Imigresen 1963 kerana dokumen pengenalan diri meragukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti penyeludupan yang bukan sahaja merugikan hasil negara, malah boleh menjejaskan keselamatan serta kedaulatan perairan.

Katanya operasi ini membuktikan kesiapsiagaan Maritim Malaysia dalam membanteras sebarang cubaan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menjadikan perairan negara sebagai laluan aktiviti jenayah.

“Maritim Malaysia turut menyeru orang awam agar menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang kegiatan mencurigakan di laut menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili di talian 07-8916591,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×