Penduduk Putra Heights tunggu pengesahan rasmi sebelum pindah

Penduduk Putra Heights tunggu pengesahan rasmi sebelum masuk rumah

PENDUDUK yang rumah mereka sudah siap kini sedang menunggu pengesahan rasmi daripada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sebelum berpindah masuk meskipun kunci rumah telah diserahkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penduduk yang terlibat dengan tragedi letupan paip gas di Putra Heights enam bulan lalu kini bersedia untuk kembali mendiami rumah masing-masing selepas kerja pembinaan semula selesai dijalankan.

Salah seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Sharifah berkata, dia sekeluarga masih menunggu pengesahan rasmi daripada pihak Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sebelum berpindah masuk meskipun kunci rumah telah diserahkan.

Katanya, mereka belum dapat menduduki kediaman tersebut kerana belum menandatangani sebarang perjanjian hitam putih.

SHARIFAH

“Memang kalau hendak masuk rumah sudah boleh sebab kunci sudah diberi. Masa Menteri Besar Selangor datang hari itu, beliau kata mana rumah yang sudah siap, serahkan sahaja kunci.

“Tetapi kami masih belum pindah masuk kerana hendak tunggu pengesahan hitam putih dulu. Kontraktor pun ada maklumkan kalau ada kerosakan dalam tempoh enam bulan atau setahun, mereka akan baiki semula, jadi kami kena tunggu jelas dulu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sharifah berkata, rumah asal yang diduduki musnah sepenuhnya dalam tragedi tersebut manakala enam pintu rumah sewanya turut roboh sehingga menyebabkan kehilangan sumber pendapatan utama keluarga.

Katanya, dia berharap kerajaan dapat memberikan jaminan untuk membina semula rumah sewa berkenaan kerana hasil daripada rumah itulah yang menjadi sumber pendapatan mereka sejak lebih 20 tahun lalu.

“Rumah saya memang habis roboh, tinggal tapak sahaja. Enam pintu rumah sewa pun semuanya musnah. Jadi pendapatan daripada situ memang terhenti terus.

“Saya harap kerajaan dapat bantu sekurang-kurangnya bina semula sebahagian sahaja pun sudah memadai, supaya kami ada juga sumber pendapatan selepas ini.

“Kalau bergantung kepada pencen suami sahaja memang cukup-cukup makan, jadi rumah sewa itulah yang selama ini membantu menampung kehidupan keluarga,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga, Mohd. Sabry Nordin berkata, walaupun rumahnya telah siap dibaiki lebih dua minggu lalu, dia masih belum dibenarkan kembali menetap di kediaman tersebut.

MOHD. SABRY NORDIN

Katanya, proses pembinaan semula kediaman di kawasan itu masih belum selesai sepenuhnya dan penduduk terlibat masih perlu menyewa di kawasan berhampiran dengan kos ditanggung kerajaan.

“Rumah saya memang sudah siap sepenuhnya. Bumbung yang rosak teruk semasa kejadian hari itu pun sudah dibaiki dan nampak lebih elok.

“Tetapi kami masih tidak dibenarkan duduk. Saya pun tidak pasti apa sebabnya walaupun kerja pembaikan sudah selesai,” katanya.

Mohd. Sabry berkata, dia dimaklumkan kontraktor diberi tempoh sehingga bulan November ini untuk menyiapkan baki rumah lain yang masih dalam pembinaan sebelum penyerahan rasmi dapat dilakukan.

“Setakat ini saya dengar ada tiga atau empat buah rumah lagi yang belum siap termasuk beberapa lot yang masih dalam proses baik pulih.

“Difahamkan penyerahan rumah hanya akan dibuat selepas keseluruhan pembinaan siap sepenuhnya. Mungkin sebab itu kami masih belum dibenarkan masuk,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×