KUALA LUMPUR: Skim Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) perlu dinilai semula bagi memastikan keberkesanan jangka panjang walaupun ia sudah membantu ramai penerima.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Setiausaha Agung Gabungan Persekutuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr. Saravanan Thambirajah berkata, jumlah semasa masih belum mencukupi untuk menampung kos sara hidup asas termasuk sewa rumah, makanan, pendidikan anak dan penjagaan kesihatan.
“Selain itu, liputan bantuan juga tidak menyeluruh kerana sebahagian kelompok M40 rentan kini tergolong dalam kategori tidak selamat kewangan.
“Bantuan kewangan hanya berkesan jika tepat sasaran, mencukupi serta disalurkan dengan cepat dan telus,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, FOMCA berharap Belanjawan 2026 tidak sekadar menawarkan bantuan sementara, sebaliknya menjadi pelan jangka panjang.
“Ini bagi membina ketahanan pengguna, menjamin keterjaminan makanan, memperkukuh akses pendidikan dan menyediakan penjagaan kesihatan mampu milik.
“Pihaknya bersedia bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan suara pengguna terus diberi perhatian dalam proses pembangunan negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Belanjawan 2026 juga perlu memberi tumpuan khusus kepada tiga aspek utama lain iaitu makanan, pendidikan tinggi dan kesihatan.
Menurutnya, makanan yang mencukupi dan mampu dibeli adalah keperluan asas setiap keluarga.
“Walaupun terdapat kawalan harga dan Jualan Rahmah, Malaysia masih bergantung lebih 60 peratus kepada import makanan termasuk beras, sayur, susu dan makanan haiwan, sekali gus mendedahkan rakyat kepada turun naik harga global dan kadar tukaran mata wang.
“Sehubungan itu, FOMCA menggesa kerajaan memperuntukkan pelaburan besar dalam sekuriti makanan negara melalui peningkatan pengeluaran tempatan, insentif kepada petani kecil dan koperasi, pengurangan rantaian orang tengah serta pembangunan sistem bekalan yang lebih cekap,” katanya.
Dalam aspek pendidikan, beliau menegaskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mesti ditawarkan kepada semua pemohon yang mengikuti kursus sah di institusi diiktiraf.
Menurutnya, pihaknya menerima banyak maklum balas mengenai pelajar dan ibu bapa yang kecewa kerana tidak mendapat pinjaman penuh meskipun memenuhi syarat.
“Oleh itu, Belanjawan 2026 perlu memastikan akses kepada pendidikan tinggi dijamin untuk semua yang layak, tanpa diskriminasi atas faktor teknikal atau kapasiti dalaman agensi.
“Selain itu, bagi sektor kesihatan, FOMCA menyuarakan kebimbangan mengenai inflasi perubatan di sektor swasta yang menyebabkan kos rawatan asas dan ubat-ubatan meningkat ketara.
“Justeru, Belanjawan 2026 perlu memperuntukkan dana bagi menjayakan Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU) termasuk penyediaan portal harga, sistem aduan serta pendidikan pengguna.
“Kerajaan juga perlu menambah kapasiti perkhidmatan kesihatan awam seperti klinik, rawatan pesakit luar dan sokongan kepada warga emas serta orang kurang upaya (OKU) agar rakyat tidak bergantung kepada sektor swasta yang mahal,” katanya. – UTUSAN










