PETALING JAYA: Rangkaian antarabangsa dan tempatan didakwa terlibat dalam sindiket dadah ekoran rampasan cecair Fentanyl seberat 961.8 kilogram dengan nilai anggaran RM30.7 juta oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) yang cuba diseludup ke negara ini sebagai transit.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal mendapati dadah Fentanyl itu dibawa masuk menggunakan kargo melalui Pelabuhan Klang yang diimport dari negara sebelah timur dengan diisytiharkan barangan lain.
Menurutnya, sindiket memang menggunakan dokumen syarikat namun membuat pengisytiharan kastam yang palsu.
“Siasatan juga mendapati warga asing yang ditahan itu masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial.
“Sindiket ini membabitkan rangkaian antarabangsa dan tempatan dan ini cubaan pertama polis berjaya kesan dan tumpaskan sebelum sampai kepada pengguna,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Hussein berkata, siasatan juga mendapati setakat ini, JSJN belum mengesan penggunaan dadah itu di negara ini.
Media sebelum ini melaporkan menerusi Op Black Ash, polis menahan dua lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan serta merampas cecair Fentanil seberat 961.8 kg dengan nilai anggaran RM30.7 juta.
Dadah jenis Fentanyl ini membunuh lebih 67 peratus akibat terlebih dos seperti mana berlaku di negara barat seperti Amerika Syarikat dan Kanada. – UTUSAN










