Kerjasama dengan gergasi digital pacu lonjakan pendapatan MAG - Utusan Malaysia

Kerjasama dengan gergasi digital pacu lonjakan pendapatan MAG

NASARUDDIN A. Bakar semasa majlis Airline 101 MAG di MAB Academy, Zon Sokongan Selatan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Malaysia Aviation Group (MAG) yakin kerjasama strategik dengan empat gergasi digital antarabangsa iaitu Adobe, Google, Skyscanner dan Visa bakal melonjakkan pendapatan syarikat, di samping memperkukuh kecekapan operasi.

Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airlines, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, pelaburan dalam teknologi merupakan pemacu penting bagi kumpulan penerbangan negara itu dalam usaha meluaskan capaian pasaran.

“Pertama sekali, pelaburan dalam teknologi amat penting untuk kami. Ia bukan sahaja tentang menambah asas pendapatan, tetapi juga bagaimana kami boleh memperbaiki operasi.

“Pasukan digital ini mampu memperluaskan capaian kami kepada kumpulan pelanggan yang lebih besar. Jadi, walaupun saya tidak boleh nyatakan berapa peratus, inilah usaha yang kami mahu laksanakan untuk menambah hasil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa majlis Airline 101 MAG di MAB Academy, Zon Sokongan Selatan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Beliau berkata, digital merupakan satu daripada pemacu utama kumpulan sehingga tahun 2030, sekali gus membuka ruang untuk lebih banyak kerjasama baharu dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi kewangan (fintech) dan ekosistem kesetiaan pelanggan.

“Jawapannya ya, kami fokus untuk memperkukuh platform digital MAG. Buat masa ini, belum ada syarikat khusus yang kami libatkan, tetapi ini adalah sasaran bergerak ke hadapan,” jelasnya.

Pada Isnin, MAG mengumumkan kerjasama dengan empat nama paling berpengaruh dalam e-dagang dan teknologi iaitu Adobe, Skyscanner, Google dan Visa.

Perkongsian untuk mentakrifkan semula cara pengembara menemui, melibatkan diri dan menempah perjalanan mereka, memberikan pengalaman perjalanan yang lancar, dipacu data dan mengutamakan pelanggan.

Mengulas mengenai rancangan membangunkan fasiliti katering baharu menerusi Malaysia Airlines Golden Lounge Catering Services (MAGCS), Nasaruddin berkata, fasiliti itu dijangka dibangunkan pada 2026 dan dijangka siap pada 2029.

“Kita bermula dengan MCAT pada September 2023 sebelum berpindah ke MAGCS yang beroperasi sementara. Bangunan baharu akan dibangunkan dan kita harap ia siap pada 2029 selepas mendapat semua kelulusan pihak berkuasa.

“Dengan kapasiti baharu itu, kami mampu menghasilkan kira-kira 50,000 hidangan sehari berbanding 26,000 sekarang. Ia akan menyokong sepenuhnya rangkaian Malaysia Airlines dan ada lebihan untuk menampung syarikat penerbangan lain,” katanya.

Menjawab mengenai pemutusan kerjasama dengan Brahim’s tahun lalu, beliau berkata, MAG berjaya memulihkan operasi katering dalam tempoh sebulan dengan pelaburan baharu termasuk pembelian trak pengangkat tinggi.

“Alhamdulillah, hasilnya amat positif. Prestasi ketepatan masa bagi katering mencapai 100 peratus untuk kebanyakan masa. Cuma semasa musim hujan ada sedikit kesan, tetapi selain itu kami kembali pulih sepenuhnya,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×