Pulau Pinang: Sindiket proses dadah MDMA bernilai RM1.7j tumpas

Pulau Pinang: Sindiket proses dadah MDMA bernilai RM1.7j tumpas

SEBAHAGIAN daripada dadah jenis MDMA yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di sekitar George Town, Pulau Pinang bermula 9 malam semalam hingga 8 pagi tadi.-GAMBAR/PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket memproses dadah jenis Methylenedioxy Methamphetamine (MDMA) dan pelbagai dadah lain yang dianggarkan bernilai RM1.7 juta dalam dua serbuan berasingan di sini.

Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail berkata, serbuan itu dilakukan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sekitar bandar raya ini, bermula 9 malam semalam hingga 8 pagi tadi.

“Dalam serbuan pertama, seorang lelaki warga tempatan telah ditahan di satu kawasan parkir kenderaan. Hasil pemeriksaan lanjut, polis berjaya merampas lima peket plastik berwarna biru muda yang di dalamnya berisi dadah jenis MDMA seberat 129.0 gram daripada suspek,” katanya di sini, hari ini.

Azizee berkata, susulan serbuan itu, polis kemudian menahan dan menangkap seorang lagi ahli sindiket lelaki yang berperanan sebagai ahli kimia di sebuah premis di Jelutong.

“Pemeriksaan lanjut menemukan 146 peket plastik berwarna hijau, putih dan biru muda yang di dalamnya berisi serbuk disyaki dadah jenis MDMA seberat 3,787 gram.

“Selain itu, polis berjaya merampas empat botol plastik berpenutup yang di dalamnya berisi dadah jenis MDMA seberat 6,217 gram serta 10 papan aluminium foil yang setiap satunya berisi 10 biji pil disyaki dadah jenis Erimin seberat 26.40 gram.

“Turut dirampas ialah satu peket plastik lutsinar berisi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin seberat 12.83 gram, tiga peket plastik lutsinar berisi 75 biji pil ekstasi seberat 41.59 gram dan pelbagai peralatan yang digunakan untuk memproses dadah jenis MDMA,” ujar beliau.

Jelas Azizee, hasil risikan mendapati, sindiket tersebut telah bergiat aktif dalam sindiket pengedaran dadah sejak awal bulan ini dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ketika ini boleh digunakan oleh seramai 50,000 orang atau 50,000 kali penggunaan.

“Hasil ujian saringan air kencing pula mendapati, kedua-dua tangkapan positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan ketamin selain mempunyai rekod kesalahan jenayah dan dadah,” katanya yang memberitahu, kedua-dua suspek yang berusia 27 dan 50 tahun itu juga telah direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Azizee berkata, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita sebuah kenderaan jenis Proton X50 bernilau RM82,000 sekali gus menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM1.78 juta.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup selain dikenakan tidak kurang daripada 12 kali sebatan,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×