Hasilkan 13,000 lukisan Spiderman

Hasilkan 13,000 lukisan Spiderman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINAT terhadap watak Spiderman mendorong seorang pemuda menghasilkan 13,000 lukisan adiwira itu.

Zainal Danial Zainal Zamri, 31, mula terjebak dengan lukisan itu selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kira-kira 12 tahun lalu.

Dia tertarik dengan karakter itu yang disifatkan mirip pengalamannya di zaman persekolahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketika rakan sebayanya leka bermain bola dan bersukan, dia pula lebih gemar melukis di sudut belakang kelas.

“Di sekolah, saya tidak ramai kawan kerana mereka anggap saya budak pelik.

“Situasi saya sama seperti yang dilalui hero Spiderman, sekali gus menyuntik motivasi untuk terus kuat,” katanya.

Pelukis konsep ini berkata, koleksi lukisan Spiderman itu turut dijual jika ada permintaan.

Tahun lalu, empat karyanya dipamerkan dalam sebuah acara seni.

Rezeki berpihak padanya apabila lukisan adiwira yang berharga RM1,000 setiap satu itu berjaya terjual.

“Pelanggan itu tertarik dengan lukisan saya dan sanggup membayar mengikut jumlah ditetapkan.

“Rupa-rupanya dia ialah pemilik syarikat permainan digital antarabangsa,” katanya.

WARISI BAKAT KELUARGA
Bakat Zainal Danial diwarisi daripada keluarga bapanya yang rata-ratanya mahir melukis.

Namun, laluannya ini tidak semudah disangka.

Dia pernah berdepan tentangan ibu bapa apabila memutuskan untuk mendalami bidang seni.

“Keluarga ada persepsi negatif pada bidang ini dan mahu saya ambil jurusan perguruan atau perakaunan.

“Saya yakinkan mereka inilah minat saya sambil menjelaskan tentang hala tuju serta masa depan sebagai pelukis,” katanya yang mengagumi lagenda komik, Stan Lee.

Malah, anak jati Pahang ini turut mengimpikan dapat bekerjasama dengan Marvel Studios dan pengarah animasi, Alberto Mielgo di masa akan datang.

“Paing penting, jangan berhenti berusaha untuk mencapai impian.

“Sebab dalam setiap usaha itu mungkin terselit peluang dan rezeki,” katanya.

 

2 JUTA TONTONAN
Baru-baru ini, video yang memaparkan dirinya tular di platform Tiktok dengan lebih 2 juta tontonan.

Video itu dikongsikan pelanggannya yang merupakan pengumpul patung figura.

“Saya tidak sedar video itu tular dan bila di luar, ramai mula menegur.

“Saya bersyukur bila makin ramai yang mengikuti perjalanan saya dan mengenali diri ini,” katanya.

Kesan tular itu membantu mempopularkan dirinya.

Sejak itu, tempahannya meningkat termasuk pesanan khas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×