CADANGAN kerajaan untuk melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (PSB) wajar diteliti dengan lebih mendalam dan tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa.
Sebelum memperkenalkan undang-undang baharu, kerajaan perlu menyelesaikan isu asas seperti tunggakan penyelenggaraan bangunan dan pelaksanaan Akta Pengurusan Strata 2013 yang masih longgar.
Statistik menunjukkan lebih 90 peratus kes berkaitan adalah kegagalan penduduk membayar yuran penyelenggaraan. Ia isu yang telah lama berlarutan.
Kerajaan juga perlu menjelaskan definisi, garis panduan dan pelaksanaan PSB. Cadangan merobohkan bangunan berusia lebih 30 tahun menimbulkan kebimbangan besar berkaitan pemilikan hartanah, hutang bank dan masa hadapan kampung-kampung bandar, khususnya kampung Melayu.
Jika kerajaan boleh memperuntukkan dana besar untuk pembangunan Kampung Baru Cina, maka perkampungan Melayu juga wajar diberikan perhatian yang sama demi keadilan sosial.
Pelaksanaan PSB juga berkait rapat dengan keseimbangan antara kaum dan risiko sosioekonomi, justeru kerajaan perlu telus dan adil dalam perancangannya. Aspek penglibatan kerajaan negeri, kuasa menteri serta mekanisme penentuan kawasan pembangunan juga mesti diperincikan bagi mengelakkan keresahan awam.
Isu perumahan yang tidak terjual lebih 23,000 unit bernilai RM13.95 bilion memperlihatkan berlakunya ketidaksepadanan antara penawaran dan kemampuan rakyat. Masalah utama bukan kekurangan rumah tetapi ketidakmampuan rakyat untuk memiliki kediaman yang sesuai.
Pembangunan semula bandar seharusnya mengambil kira nasib golongan miskin bandar yang merupakan nadi kota.
Jangan sampai bandar hanya bergantung kepada tenaga kerja asing akibat pengusiran halus terhadap warga tempatan. Statistik kesihatan mental yang membimbangkan juga menunjukkan tekanan hidup di bandar semakin meruncing.
Maksud sebenar bandar yang mampan ialah apabila perumahan dibangunkan secara seimbang antara golongan miskin dan kaya. Perumahan rakyat bawahan tidak boleh dipinggirkan kerana merekalah tulang belakang yang memastikan kelangsungan bandar melalui pekerjaan rencam bandar.
Mungkin kini adalah ruang bagi kerajaan mengembalikan peranan Lembaga Pembangunan Bandar (UDA) yang ditubuhkan pada 12 November 1971 untuk memacu pembangunan bandar, selain memperkasakan semula peranan membina rumah mampu milik untuk rakyat.
Perubahan yang rakyat mahukan ialah bagaimana kerajaan mampu mengharmonikan sistem sedia ada, bukannya menambah masalah dengan mewujudkan perkara baharu yang akhirnya hanya merugikan kerajaan sendiri kerana berlaku pertindihan skop tugas.
Dalam hal ini, badan profesional juga tidak boleh bekerja secara silo. Rujukan pembangunan bandar tidak boleh hanya bertumpu kepada Jabatan Perancang Bandar dan Desa semata-mata, sebaliknya perlu menarik keseluruhan rangkaian profesional hartanah seperti penilai harta, pengurus harta, arkitek, jurutera dan pelbagai pihak berkepentingan lain.
Selain itu, libat urus dengan warga akademik adalah sangat penting agar setiap dasar dan pelaksanaan dapat diseimbangkan antara sudut teori dan praktis, demi menjamin hasil pembangunan yang lebih mampan dan berpaksikan kepentingan rakyat.
Sebaliknya, model kejayaan seperti Razak Mansion dan Residensi Kerinchi membuktikan pembangunan semula boleh dilaksana tanpa PSB.
Kedua-dua projek ini berjaya direalisasikan tanpa adanya PSB, sekali gus menunjukkan bahawa ia bukanlah penanda aras atau alasan kukuh untuk kerajaan melaksanakan undang-undang baharu tersebut.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MONA ISA
Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah Fakulti Senibena, Perancangan dan Ukur (FSPU), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.










