IPOH: Seorang pengusaha stesen minyak di Ayer Tawar, Manjung didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menjual minyak diesel bersubsidi melebihi had ditetapkan kepada seorang pemandu lori, tahun lalu.
Tertuduh, Chew Jo Seng, 30, juga berdepan hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga Pengarah Syarikat Caltex Ayer Tawar Service Station Sdn. Bhd. yang merupakan pemegang lesen barang kawalan didapati telah menjual bahan api diesel kepada M. Vadidel yang diisi dalam tangki tambahan kenderaan berjumlah 1,395.348 liter.
Tindakan tersebut telah melanggar arahan Pengawal bertarikh 17 Jun 2022 perenggan 2(c) yang menyatakan bahawa pemegang lesen runcit hanya dibenarkan menjual diesel kepada kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia tidak lebih daripada 250 liter dengan sekali transaksi sahaja sehari ke dalam tangki kenderaan asal.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Stesen Minyak Caltex, Jalan Sitiawan di Ayer Tawar dalam daerah Manjung pada pukul 9 pagi, 1 Februari 2024.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Peraturan 21(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab, Mohamad Nazreen Zabarudin dan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Muhamad Hanif Abd. Azis manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN










